Serena teruskan dominasi

Serena teruskan dominasi

NEW YORK, 4 Sept – Serena Williams mencipta satu lagi catatan apabila melakar kemenangan kali ke-307 Grand Slam bagi mengatasi rekod Martina Navratilova dan mara ke pusingan keempat Terbuka Amerika Syarikat.

Williams mendominasi pemain Sweden, Johanna Larsson 6-2, 6-1. Bukan hanya dia mengatasi rekod Navratilova sebagai pemain wanita terbanyak mencatatkan kemenangan Grand Slam, dia kini menyamai rekod dibuat Roger Federer dalam kategori lelaki.

“Saya sungguh teruja dapat capai 307,” kata Williams. “Ia adalah sesuatu yang saya tidak tahu sehinggalah Wimbledon – ia seperti sasaran baru saya. Ia adalah sesuatu yang menarik buat saya.

“Sudah tentu saya mahu terus mencatat nombor yang lebih tinggi,” kata Williams yang akan bertemu pemain Kazakhstan, Yaroslava Shvedova pada suku akhir.

Serena Williams ketika beraksi dalam perlawanan tersebut. – AFP
Serena Williams ketika beraksi dalam perlawanan tersebut. – AFP

“Dan tiada tempat yang lebih baik untuk melakukannya selain di sini, di mana ia semuanya bermula,” kata Williams yang memenangi gelaran Grand Slam pertamanya pada Terbuka AS 1999 sebelum merangkul keseluruhan 22 gelaran.

Kejayaan kali ke-23 akan membuatkan dia melepasi rekod dalam Era Terbuka yang kini dikongsinya bersama Steffi Graf dan menghampiri rekod sepanjang zaman Margaret Court.

Tetapi bintang Amerika Syarikat itu terpaksa memperlahankan rentak permainan berikutan kecederaan bahu kanan sejak kemenangan di Wimbledon. – AFP