Serena Williams yakin

Serena Williams yakin

LONDON, 13 Julai (AFP) – Juara Wimbledon Serena Williams yakin dia mampu menangani tekanan untuk melakar sejarah dalam kalendar Grand Slam di Terbuka AS yang bakal berlangsung di negara kelahirannya itu tidak lama lagi.

Berikutan kejayaannya di Wimbledon, Serena sudah semakin hampir untuk menjadi pemain wanita pertama sejak Steffi Graf pada 1988 yang memenangi semua empat gelaran utama dalam tahun sama.

Pemain AS berusia 33 tahun itu bangkit daripada permulaan perlahan sebelum mencatat kemenangan 6-4, 6-4 ke atas pemain Sepanyol Garbine Muguruza, sekali gus menghadiahkan kejayaan Grand Slam ke-21 kelmarin dan muncul pemain wanita tertua yang memenangi gelaran utama di Era Terbuka.

“Saya mengelilingi gelanggang dengan tenang, gembira dan selepas itu, barulah saya mula berfikir mengenai New York,” katanya.

“Saya berkata pada diri sendiri, saya sudah menang di New York tiga kali berturut-turut. Saya harap kali ini saya tidak tewas di sana. Saya mahu melakukan yang terbaik di situ nanti.

“Saya rasa yakin dapat mencipta Serena Slam, Saya tidak berdepan masalah untuk melangkah ke (kalendar) Grand Slam.

“Seperti yang biasa saya katakan, terdapat 127 pemain lain di kejohanan itu dan mereka sudah tentu tidak mahu melihat saya menang. Tidak ada yang bersifat peribadi kerana semua mahukan kemenangan.

“Tetapi, saya tidak ada apa untuk dirisaukan. Saya sudah mengukuhkan kedudukan di tangga teratas dan saya hanya perlu bermain seperti biasa.”

Sepanjang aksi Wimbledon, Serena cuba menenangkan diri dengan tidak menjawab soalan mengenai cubaannya mencipta Serena Slam dengan memenangi empat kejuaraan setahun.

Juara Terbuka AS enam kali itu mengakui tekanan pasti lebih hebat di Flushing Meadows nanti, tetapi sekali lagi, dia akan cuba memberikan perhatian kepada setiap perlawanan berbanding terburu-buru mencipta legasi.

Sementara itu, Martina Hingis memenangi gelaran Wimbledon pertama sejak 1998 apabila gandingannya bersama Sania Mirza membolehkan mereka menjuarai regu wanita.

ARTIKEL YANG SAMA