Sergio Ramos kekal di Madrid hingga 2020

Sergio Ramos kekal di Madrid hingga 2020

MADRID, 18 Ogos – Pertahanan Sepanyol yang beraksi bersama Real Madrid Sergio Ramos bersetuju untuk melanjutkan kontraknya bersama kelab La Liga berkenaan hingga 2020 sekali gus menamatkan khabar angin yang menyebut dia bakal berpindah ke kelab Liga Perdana Inggeris Manchester United.

Ramos, 29, menandatangani kontrak barunya dalam majlis yang turut dihadiri Presiden Real Florentino Perez di Stadium Bernabeu semalam.

Media tempatan melaporkan, kapten pasukan yang berpengaruh dan menjadi pujaan peminat Real itu bakal memperoleh gaji sebanyak 10 juta euro (RM45.56 juta) selepas cukai semusim sekali gus menjadikannya sebagai salah seorang pemain yang menerima gaji paling tinggi di dalam pasukan.

Sejak akhir musim lalu, Ramos dikaitkan dengan perpindahan ke United dengan laporan menyebut dia akan ditukarkan dengan penjaga gol David De Gea.

Selain kontrak baru Ramos, Real dilaporkan turut sedia mendapatkan khidmat pemain tengah Croatia Mateo Kovacic dari Inter Milan.

Jurulatih Inter Roberto Mancini dikatakan sudah mengesahkan pemergian Kovacic selepas pasukannya seri tanpa jaringan ketika menentang AEK Athens dalam perlawanan persahabatan Sabtu lalu dan pemain berusia 21 tahun itu tidak diturunkan.

“Kami semua tidak gembira dengan pemergiannya.

Bukan saja saya tetapi juga pemain, presiden dan pengarah kelab,” kata Mancini ketika ditanya mengenai pemain itu.

Kovacic dianggap sebagai pengganti terbaik untuk mengisi posisi tengah Real yang kini dipegang rakan sepasukannya di Croatia Luka Modric dan pemain tengah Jerman Toni Kroos.

Dia juga bakal bersaing dengan Isco, Asier Illarramendi serta Casemiro untuk berada di dalam kesebelasan utama pasukan. – Reuters