Seria-KB Bypass dilitupi asap tebal

Seria-KB Bypass dilitupi asap tebal

Oleh Anwar Rosly

KUALA BELAIT, 25 Jan – Kawasan Seria-KB By-Pass telah diselubungi dengan asap tebal berikutan kebakaran hutan yang besar di kawasan KM17/KM18 Seria Bypass, sekitar jam 2 pagi hingga petang tadi.

Kepulan asap besar juga boleh dilihat dari kawasan perumahan RPN Kampung Lorong Tengah, Seria dan Perindustrian Sungai Bera yang berdekatan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (DDMC) Belait, Pusat Operasi Kecemasan Daerah (DEOC) Belait, kebakaran disyaki berpunca daripada api kecil/ puntung rokok oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab memasuki kawasan tersebut.

Stesen Komander Cawangan Balai Bomba Sungai Liang selaku Pemangku Stesen Komander Balai Bomba Cawangan Seria, Awang Muhammad Ali bin Hassan, semasa ditemui di tempat kejadian memberitahu, pihak bomba menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran hutan di KM 17, Seria-KB Bypass pada jam 2 pagi dan bergegas ke tempat kejadian dengan sebuah jentera bomba bersama 11 orang anggota bomba bersama Watch Commander, Awang Lee Ang Sing yang mengetuai operasi itu.

Kenderaan melalui Seria-KB Bypass yang diselubungi asap tebal berpunca daripada kebakaran hutan.
Kenderaan melalui Seria-KB Bypass yang diselubungi asap tebal berpunca daripada kebakaran hutan.
Anggota bomba dari Balai Bomba Seria cuba mengawal kebakaran besar di Kilometer 17,Seria-KB Bypass.
Anggota bomba dari Balai Bomba Seria cuba mengawal kebakaran besar di Kilometer 17,Seria-KB Bypass.

Menurut beliau, api besar memusnahkan hutan sepanjang satu kilometer dan merebak dengan pantas akibat ditiup angin yang kuat pada awal pagi tadi.

Kini pihak bomba masih menyiasat sejauh mana api merebak ke kawasan hutan pedalaman serta memberitahu bahawa usaha pihak bomba adalah untuk membuat ‘cutting’ di mana anggota bomba terbabit menggali dan memotong tanah gambut untuk menghalang api daripada merebak lebih jauh lagi.

Berikutan daripada kejadian itu, DEOC yang berpangkalan di Jabatan Daerah Belait telah diaktifkan bagi menangani isu tersebut, yang merangkumi perwakilan dari beberapa buah agensi kerajaan dan pihak swasta seperti Pasukan Kecemasan dan Menyelamat Bomba, Polis Diraja Brunei, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Perhutanan serta Syarikat Brunei Shell Petroleum Sdn Bhd.

Semasa mesyuarat pagi tadi, Penolong Pegawai Daerah Belait, Awang Hasmiron bin Haji Mohd Taib yang mempengerusikan Jawatankuasa Tindakan DEOC memberitahu, beberapa langkah keselamatan dan pelan tindakan telah diambil untuk menangani isu tersebut.

Ini termasuk menyediakan tangki-tangki air untuk pihak bomba melakukan kerja-kerja memadam api, mengawal perjalanan kenderaan yang melintasi kawasan jalan raya berdekatan hutan itu, serta mengaktifkan talian hotline DEOC untuk orang ramai menghubungi bagi menyediakan serta memaklumkan sebarang maklumat penting mengenai isu tersebut kepada masyarakat ramai melalui media seperti radio, televisyen dan surat khabar.

“Ketika ini JKR menyediakan dua tangki air dan Jabatan Perhutanan juga menyediakan satu tangki air untuk membantu dalam usaha bersama pihak bomba memadam api kebakaran sebelum ia merebak.

“Pihak polis serta JKR juga bekerjasama dengan DEOC dalam masing-masing mengawal perjalanan kenderaan di waktu pagi yang akan menjadi sesak kerana orang ramai yang pergi ke tempat kerja melalui lebuh raya tersebut dengan meletakkan papan-papan tanda keselamatan bagi tujuan perjalanan yang lancar,” jelas beliau.

Tambahnya lagi, jika keadaan jalan raya pada waktu malam berpotensi menjadi bahaya kerana tiada lampu dan juga asap tebal yang boleh menghalang penglihatan pengguna jalan, kenderaan-kenderaan akan dimaklumkan dan diarah untuk menggunakan jalan lain bagi menuju ke destinasi mereka.

“Orang ramai juga boleh menghubungi terus hotline DEOC di talian 3348046 atau 3348049 dan juga di talian Fire and Rescue 995 untuk memaklumkan pihak berwajib mengenai mana-mana kejadian kebakaran yang berlaku di daerah ini,” katanya lagi.

Beliau juga memberitahu bahawa rondaan akan dibuat oleh ahli-ahli DEOC bagi memantau sebarang aktiviti kejadian kebakaran dan juga pembakaran yang dibuat secara terbuka bagi mengelakkan berlakunya kejadian api yang tidak diingini.

Dalam masa yang sama, dua kejadian kebakaran juga dilaporkan berlaku di tempat berasingan di kawasan Anduki awal pagi tadi dan tidak jauh dari kawasan perumahan RPN Kampung Lorong Tengah lewat petang tadi.

Media Permata turut meninjau ke tempat kejadian berdekatan perumahan RPN Kampung Lorong Tengah dan bertemu dengan Penolong Penguasa Bomba, Wan Julaini bin Wan Ibrahim yang memberitahu, beliau mengesyaki kejadian kebakaran itu disebabkan aktiviti pembakaran haram kerana didapati terdapat pelbagai sampah sarap yang dibuang di sana dan terbiar.

Namun siasatan lanjut akan dilakukan oleh pihak bomba bagi mencari punca sebenar kejadian tersebut.

DDMC/DEOC Belait dalam kenyataannya turut mengingatkan orang ramai supaya menghentikan pembakaran terbuka semasa musim kering ini serta mengelakkan aktiviti-aktiviti yang boleh menyebabkan kebakaran di tepi jalan seperti pembuangan puntung rokok.

Manakala para pemandu dan pengguna jalan raya juga diingatkan supaya lebih berwaspada semasa melalui kawasan-kawasan terjejas, dan peka mengenai arahan lalu lintas serta merancang masa atau perjalanan alternatif.

ARTIKEL YANG SAMA