Serie A bukan produk menarik?

Serie A bukan produk menarik?

MANCHESTER, England, 8 Sept – Serie A bergelut untuk menandingi Liga Perdana Inggeris disebabkan ia bukan satu produk yang menarik kepada pelabur asing, menurut bekas penyerang Itali, Gianluca Vialli.

Liga Perdana boleh menawarkan gaji lebih tinggi kepada pemainnya berbanding pemain Eropah disebabkan pendapatan tinggi yang diterimanya daripada penyiar televisyen Sky dan BY dan cara pelabur asing membiayai beberapa kelab terkenal.

Vialli adalah sebahagian daripada era emas kelab bola sepak Itali pada pertengahan 1990, memenangi Liga Juara-Juara bersama Juventus sebelum menamatkan kerjayanya di England dengan Chelsea.

Bagaimanapun, hanya satu kelab Itali yang telah memenangi Liga Juara-Juara dalam tempoh lapan tahun lalu – Inter Milan pada 2010 – dan pasukan teratas negara tidak boleh bertanding dalam pasaran pemindahan disebabkan kekurangan kewangan.

“Saya tidak fikir bola sepak Itali adalah produk menarik untuk sesiapa yang mahu melabur melainkan mereka adalah pemain Itali yang memahami sepenuhnya apa yang berlaku di negara kami dan cara sesuatu perkara dilakukan,” beritahu VIalli kepada Reuters dalam satu temu bual semalam.

“Jika saya adalah warga asing kaya, saya tidak mahu melabur di Itali disebabkan timbulnya banyak ketidakpastian, semua skandal berkaitan dengan rasuah dan penetapan perlawanan.

“Seterusnya terdapat Lega Calcio, sebuah institusi yang ditubuhkan oleh pemilik yang bertengkar sepanjang masa. Ia adalah persekitaran yang amat tidak stabil, tidak ideal untuk seseorang yang ingin melabur dalam bola sepak,” tambah Vialli yang berada di Manchester untuk konvensyen Soccerex.

“Kami menerima pendapatan daripada penyiar Itali tetapi kami tidak boleh menjual produk kami di luar negara seperti Liga Perdana disebabkan produk kami tidak menarik.

“Permainan kami adalah terlalu taktikal, stadium tidak hebat, cara kami bermain adalah agak perlahan, ia bukan satu produk yang menarik di seluruh dunia,” katanya.

Bekas pemain-pengurus Chelsea itu menambah Serie A terlepas peluang untuk memasarkan dirinya di dunia dalam era apabila pemain terkenal dunia, seperti Zinedine Zidane dari Perancis dan Ronaldo dari Brazil, bermain di Itali. – Reuters

ARTIKEL YANG SAMA