Serikan Ramadan dengan amal, sedekah

Serikan Ramadan dengan amal, sedekah

Oleh Sim Y. H. & Nur Wasimah S.

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Jun – Orang ramai diharap akan terus menghulurkan bantuan, beramal dan memberikan sokongan kepada kegiatan-kegiatan amal bagi golongan yang memerlukan sepanjang bulan Ramadan.

Di samping itu, mereka juga boleh menghulurkan bantuan dan memberikan keceriaan kepada anak-anak yatim di bulan mulia ini dengan mengadakan majlis berbuka puasa bersama-sama anak-anak yatim berkenaan.

Harapan itu disuarakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dalam temu bual bersama media selepas Perasmian SMS Brunei Prihatin Untuk Tabung Anak-anak Yatim Kebangsaan 2016 yang berlangsung di Dewan Digadong, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).

Di samping itu, Yang Berhormat Pehin berharap orang ramai akan dapat melaksanakan lebih banyak projek pendekatan masyarakat dan kegiatan amal untuk mengetengahkan semangat kesukarelawanan serta beramal bagi golongan yang memerlukan.

Yang Berhormat Pehin berkata bahawa pada masa ini terdapat lebih 5,000 orang anak yatim yang berdaftar dengan Jabatan Pembangunan Masyarakat di mana pihak kementerian memberikan keutamaan untuk membahagiakan golongan anak-anak yatim supaya mereka dapat membesar sama seperti kanak-kanak yang lebih bernasib baik.

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menghulurkan sumbangan menggunakan sistem SMS Brunei Prihatin bagi Tabung Anak-anak Yatim Kebangsaan.
Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menghulurkan sumbangan menggunakan sistem SMS Brunei Prihatin bagi Tabung Anak-anak Yatim Kebangsaan.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi semasa menerima sumbangan untuk Tabung Anak-anak Yatim Kebangsaan daripada Kumpulan Isteri-isteri Menteri Kabinet, Timbalan Menteri, Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap dan ahli bersekutu.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi semasa menerima sumbangan untuk Tabung Anak-anak Yatim Kebangsaan daripada Kumpulan Isteri-isteri Menteri Kabinet, Timbalan Menteri, Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap dan ahli bersekutu.

Menurut Yang Berhormat Pehin, menjadi salah satu tugas utama kementeriannya untuk memeduli dan menjaga kesejahteraan anak-anak yatim di mana kementeriannya sentiasa mengalu-alukan dan bekerjasama dengan pihak-pihak tertentu khususnya badan-badan amal yang lain untuk terus meningkatkan usaha dalam mengumpulkan dana, kesejahteraan dan pemedulian bagi anak-anak yatim.

Mengulas mengenai dengan sambutan orang ramai mengenai projek SMS Brunei Prihatin, Yang Berhormat Pehin berkata bahawa sambutan orang ramai adalah amat menggalakkan di mana secara purata jumlah yang berjaya dikutip terus meningkat dari tahun ke tahun di mana ia merupakan satu petanda baik bahawa masyarakat Brunei khususnya masyarakat Islam merebut peluang di bulan Ramadan sebaik-baiknya untuk menyumbang kepada yang memerlukan.

“Ini merupakan satu trend yang amat mengharukan dan membanggakan,” tambah Yang Berhormat Pehin lagi.

Projek SMS Brunei Prihatin, ulasnya lagi, adalah baik jika dapat dibuat di bulan-bulan lain tetapi pada masa ini, ia dibuat semasa bulan Ramadan untuk memberikan peluang kepada orang ramai untuk beramal-ibadat di bulan mulia serta mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat khususnya daripada mereka yang beragama Islam.

“Harapan pada tahun ini adalah untuk mudah-mudahan, kutipannya akan bertambah dari tahun sebelumnya dan bilangan mereka yang akan menggunakan kaedah menderma seperti ini akan bertambah lagi.”

ARTIKEL YANG SAMA