Serikandi agih daging korban

Serikandi agih daging korban

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 12 Sept – Kumpulan Syarikat Serikandi hari ini mengagihkan sejumlah 800 bungkus daging korban pada hari pertama Hari Raya Aidiladha dan akan terus mengagihkan daging korban sehingga Khamis ini di beberapa lokasi berbeza.

Pengagihan daging korban diadakan di kediaman Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shaikh Haji Khalid bin Shaikh Haji Ahmad di Jalan Pandan Dua di sini dan hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan pengagihan daging-daging korban tersebut ialah Pegawai Daerah Belait, Haji Haris bin Haji Othman dan isteri.

Menurut Shaikh Khalid, tahun ini, syarikatnya menyembelih 10 ekor lembu dan dua ekor kambing untuk diagih-agihkan kepada golongan fakir miskin, keluarga dan jiran-jiran terdekat.

Majlis Pengagihan Daging Korban Kumpulan Syarikat Serikandi disempurnakan oleh Haji Haris.
Majlis Pengagihan Daging Korban Kumpulan Syarikat Serikandi disempurnakan oleh Haji Haris.

“Kami berharap ibadah korban ini mencapai sasarannya iaitu 1/3 agihan kepada orang ramai yang akan menerimanya dalam masa empat hari berturut-turut bermula hari ini,” tambahnya.

Majlis pengagihan daging korban syarikat itu akan diteruskan esok di Pasar Raya Ya Nur Kampung Pandan, manakala pada Rabu, majlis pengagihan akan diadakan di Pasar Raya Ya Nur Lumut dan pada hari Khamis, ia akan diadakan di kawasan Masjid Pelambayan, Kota Batu, Daerah Brunei dan Muara.

ARTIKEL YANG SAMA