Serikandi hulur sumbangan kurma, air

Serikandi hulur sumbangan kurma, air

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 30 Mei – Seperti tahun-tahun yang sudah, Kumpulan Anak-anak Syarikat Serikandi, hari ini, telah meneruskan tradisinya menyumbangkan air mineral dan buah kurma ke masjid-masjid dan balai ibadat di Daerah Belait, sempena kedatangan bulan suci Ramadan yang akan disambut oleh umat Islam kira-kira seminggu lagi.

Majlis penyerahan buah kurma syarikat tersebut kepada wakil-wakil 16 buah masjid itu diadakan di Dewan Masjid Muhammad Alam yang disempurnakan oleh tetamu kehormat, Ketua Pegawai Ugama Daerah Belait, Haji Asminan bin Haji Chuchu.

Manakala, penyampaian sumbangan air disempurnakan oleh Pegawai Daerah Belait, Haji Haris bin Haji Othman. Kedua-dua penyampaian sumbangan itu telah disaksikan bersama oleh Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Serikandi, Shaikh Khalid bin Shaikh Haji Ahmad. Sumbangan yang sama juga telah diserahkan ke masjid-masjid Daerah Tutong dan Temburong pada hari ini, melalui anak syarikatnya, Syarikat An Nur.

Pada tahun ini, sebanyak 960 kotak air mineral dan 64 kotak buah kurma telah diagih-agihkan ke setiap masjid dan balai-balai ibadah di Daerah Belait untuk kegunaan pada majlis-majlis bertadarus dan bersungkai di sepanjang bulan Ramadan nanti.

Penyerahan air mineral disampaikan oleh Haji Haris kepada wakil masjid.
Penyerahan air mineral disampaikan oleh Haji Haris kepada wakil masjid.
Penyerahan kurma disampaikan oleh Haji Asminan sambil disaksikan oleh Shaikh Khalid (kiri).
Penyerahan kurma disampaikan oleh Haji Asminan sambil disaksikan oleh Shaikh Khalid (kiri).

Melalui jumlah sumbangan tersebut, setiap masjid menerima 60 kotak air mineral dan empat kotak kurma. Haji Asminan ketika ditemui media, merakamkan penghargaan kepada syarikat berkenaan yang telah menghulurkan sumbangan bagi menyokong keperluan para jemaah masjid di daerah ini, dan berharap di sepanjang bulan Ramadan nanti, masjid-masjid akan dimeriahkan dengan acara-acara memakmurkan masjid, termasuklah ceramah-ceramah menjelang sungkai dan sebagainya dan juga solat Tarawih.

Bulan Ramadan adalah bulan yang dinanti-nantikan seluruh umat Islam dalam meningkatkan amalan masing-masing dengan merebut peluang melakukan kerja-kerja berkebajikan selaras dengan harapan Syarikat Serikandi agar sumbangan itu juga akan mendapat rahmat dan hikmah daripadanya.

ARTIKEL YANG SAMA