Serikandi korban untuk 1,000 penerima

Serikandi korban untuk 1,000 penerima

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 24 Sept – Umat Islam di seluruh dunia termasuk di negara ini, mula meraikan Hari Raya Aidiladha, hari ini, dengan mengadakan ibadah sunat korban oleh pelbagai pihak sama ada persendirian atau berkumpulan.

Syarikat Kumpulan Serikandi, seperti tahun-tahunnya, turut tidak ketinggalan melaksanakan ibadah sunat berkenaan dengan kira-kira 1,000 fakir miskin dan penduduk di Daerah Belait menerima agihan korban syarikat berkenaan di majlis yang berlangsung di kediaman Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Serikandi, Shaikh Haji Khalid bin Shaikh Ahmad, di Jalan Pandan Dua, di sini, hari ini.

Menyempurnakan pengagihan daging-daging korban haji berkenaan ialah Pegawai Daerah Belait Haji Haris bin Othman selaku Tetamu Kehormat majlis sambil disaksikan oleh beberapa tetamu undangan.

Turut hadir ialah Pengiran Haji Bolkiah bin Pengiran Haji Jaluddin, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Mohd Yusof bin Haji Dulamin yang juga selaku Ketua Kampung Mumong, Penghulu Mukim Belait, Haji Pungut bin Ali dan Penghulu Mukim Seria, Haji Jamail bin Haji Linap.

Semasa ditemui di akhir majlis, Shaikh Khalid meluahkan perasaan terharu dengan keramaian orang yang datang bagi menerima daging korban dan meraikan sambutan Aidiladha bersama-sama penduduk dan juga kakitangan Serikandi sendiri.

Antara penerima berkeperluan khas yang menerima bungkusan daging korban berkenaan.
Antara penerima berkeperluan khas yang menerima bungkusan daging korban berkenaan.
Pegawai Daerah Belait bersama Shaikh Haji Khalid menyerahkan bungkusan daging korban kepada salah seorang penerima di majlis berkenaan.
Pegawai Daerah Belait bersama Shaikh Haji Khalid menyerahkan bungkusan daging korban kepada salah seorang penerima di majlis berkenaan.

“Tahun ini, Syarikat Serikandi mengorbankan 10 ekor lembu dan 12 ekor kambing dan Alhamdulillah, kami dapat mencapai sasaran kami untuk memberi 1/3 kepada ahli keluarga terdekat, 1/3 kepada fakir miskin dan 1/3 kepada sahabat handai dan jiran-jiran tetangga,” ujarnya.

Shaikh Khalid kemudiannya mengongsikan bahawa acara-acara pengagihan daging korban bagi Syarikat Serikandi akan diadakan dalam beberapa hari akan datang.

“Program pengagihan daging korban haji ini adalah secara berperingkat dan seperti yang sudah diketahui, peringkat pertama adalah di rumah kediaman saya sendiri dan tiga lagi acara yang lain akan mengambil tempat di tiga buah tempat iaitu di Ya Nur Trading Company Sendirian Berhad, Jalan Jaya Negara pada 25 September, hari Jumaat, di Ya Nur Minimart, Lumut, pada 26 September, hari Sabtu dan di kawasan Masjid Pelambayan, Kota Batu, pada 27 September, hari Ahad,” jelasnya.

ARTIKEL YANG SAMA