Serius kawal keselamatan perairan Sabah

Serius kawal keselamatan perairan Sabah

KOTA KINABALU, 7 April (Bernama) – Keputusan kerajaan Sabah memperketat kawalan di perairan Sabah serta menggantung aktiviti perniagaan tukar barang di semua pelabuhan harus dilihat secara positif kerana ia berupaya memberi impak yang besar kepada tahap keselamatan di negeri ini.

Setiausaha Majlis Permuafakatan Suluk Sabah (MPSS) Mohd Zaki Harry Susanto berkata ia adalah keputusan tepat dalam usaha mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan, sekali gus menambahbaikkan tahap keselamatan di Sabah yang tidak terlepas daripada pelanunan dan penculikan.

“Keputusan ini adalah isyarat bahawa kerajaan sangat serius mencari formula menangani ancaman yang berlaku demi kesejahteraan hidup rakyat di Sabah khususnya. Kita yakin penggantungan aktiviti tukar barang di semua pelabuhan di seluruh Sabah juga mampu mematahkan kegiatan pengintipan selain isu-isu berkaitan keselamatan lain.

“Pasti ada pihak akan terjejas dengan keputusan itu tetapi keselamatan Sabah dan rakyatnya adalah keutamaan kerajaan. Kita tidak harus berkompromi dengan isu keselamatan kerana jika tidak ditangani dengan bijak, ia boleh menjejaskan ekonomi serta politik negeri, sekali gus menjatuhkan reputasi Sabah sebagai syurga aktiviti pelancongan yang selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zaki berkata demikian sebagai mengulas keputusan kerajaan Sabah semalam, serta memuji ketegasan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman selaku Pengerusi Majlis Keselamatan Negeri dalam membuat keputusan tersebut.

Jeti Pelabuhan dan Dermaga Sandakan yang menjadi tempat urus niaga perdagangan sistem Barter di daerah ini. Kelmarin, kerajaan negeri Sabah membuat keputusan aktiviti semua pelabuhan barter trade di seluruh Sabah digantung dan dihentikan serta-merta. – Bernama
Jeti Pelabuhan dan Dermaga Sandakan yang menjadi tempat urus niaga perdagangan sistem Barter di daerah ini. Kelmarin, kerajaan negeri Sabah membuat keputusan aktiviti semua pelabuhan barter trade di seluruh Sabah digantung dan dihentikan serta-merta. – Bernama

Beliau berharap keputusan kerajaan Sabah itu tidak dipolitikkan oleh pihak tidak bertanggungjawab kerana apa yang diputuskan adalah demi kesejahteraan hidup rakyat Sabah.

Sementara itu, Zaki mencadangkan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) memberi tumpuan kepada masa tindak balas di kawasan perairan agar kehadiran mereka lebih dirasai, sekali gus boleh menghalang penjenayah rentas sempadan daripada pergi jauh sebaik selesai melakukan jenayah.

“Respons yang segera memberi gambaran pasukan keselamatan berada di mana-mana. Dalam hal ini, pendekatan strategik oleh Esscom harus mengambil kira nisbah kemudahan logistik dan tanggungjawab dengan jarak kawasan dijaga.

“Jika nisbah itu terlalu jauh, amatlah sukar mereka membendung jenayah di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone). Esscom juga harus bersedia mengintegrasikan kemudahan dan sistem keselamatan agar lebih canggih serta berkesan,” katanya.

Zaki juga mencadangkan agar semua pemilik kapal dan pengusaha serta peniaga di pulau serta pesisir pantai diperkenalkan dengan sistem kecemasan yang boleh memberi isyarat kepada Esscom apabila berlaku kecemasan.

Sebagai contoh, katanya pengenalan butang kecemasan yang bertindak seperti sistem penggera kepada pusat kawalan Esscom boleh menyatakan lokasi jenayah sebaik diaktifkan bagi memudahkan pihak keselamatan bertindak tanpa mengira kecemasan dalam bentuk apa sekalipun.