Serius perangi keganasan antarabangsa

Serius perangi keganasan antarabangsa

CANBERRA, 20 Ogos – Australia dan Indonesia hari ini bersetuju untuk menganjur bersama satu sidang kemuncak memerangi keganasan antarabangsa bertujuan menyekat pembiayaan wang untuk pertubuhan pelampau.

Sidang kemuncak itu, dijangka diadakan di Sydney pada November, akan membabitkan wakil dari Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) serta negara lain.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AUSTRAC, Paul Jevtovic, dan ketua Unit Perisikan Kewangan Indonesia (PPATK), Dr Muhammad Yusuf, akan mempengerusikan bersama sidang kemuncak pada November.

Menteri Australia yang membantu Perdana Menteri mengenai strategi memerangi keganasan, Michael Keenan, dalam satu kenyataan berkata adalah “penting” negara utama bekerjasama dan mengemukakan cara-cara untuk memutus aliran wang yang disalurkan kepada pertubuhan pengganas.

Keenan berkata wakil, dianjurkan oleh unit risikan kewangan Australia dan Indonesia, AUSTRAC dan PPATK, akan menilai “pelbagai saluran kewangan untuk memerangi ancaman keganasan dan membanteras jenayah transnasional di kawasan kritikal rantau kami.”

Menteri Australia yang membantu Perdana Menteri mengenai strategi memerangi keganasan, Michael Keenan. – Reuters
Menteri Australia yang membantu Perdana Menteri mengenai strategi memerangi keganasan, Michael Keenan. – Reuters

“Pengganas dan penjenayah tidak boleh beroperasi tanpa wang, dan AUSTRAC memainkan peranan penting dalam keselamatan negara Australia dan rangkaian membanteras jenayah untuk menjejak aliran wang dan menutup sindiket jenayah,” kata Keenan.

“Sidang kemuncak akan mengumpul bersama pakar pembiayaan pencegahan keganasan, penguat kuasa undang-undang, wakil keselamatan negara, penggubal dasar, industri dan akademik dari negara ASEAN dan negara utama lain yang berada di barisan depan membasmi pembiayaan keganasan dan fahaman pelampau ganas.”

Keenan berkata fokus utama untuk sidang kemuncak adalah merangsang usaha kolektif untuk menjejaki pembiayaan keganasan dan hasil jenayah.

“Menjejaki aliran wang adalah elemen asas untuk mengatasi keganasan dan jenayah terancang, dan kerjasama antarabangsa adalah penting untuk mengesan dan menumpas operasi haram,” kata beliau. Menteri itu menambah anjuran bersama rundingan dengan Indonesia akan memantapkan lagi hubungan di antara kedua-dua negara. Sejak April, apabila Indonesia melaksana hukuman mati dua tahanan Australia meskipun rayuan meminta hukuman diringankan daripada kerajaan Australia, hubungan di antara kedua-dua negara telah menjadi dingin. – Agensi