Serlah bakat rekaan kereta di luar negara

Serlah bakat rekaan kereta di luar negara

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mac – Sekali lagi, Negara Brunei Darussalam membuktikan bahawa jurutera-jurutera muda berbakat negara juga mampu untuk menghasilkan kereta mesra alam tempatan apabila dua buah kereta buatan Brunei akan menyertai Shell Eco-Marathon Asia 2016 yang berlangsung di Luneta Park, Manila, Filipina pada 3 hingga 6 Mac nanti.

Dalam pertandingan itu, dua buah pasukan seramai 13 orang dari Brunei akan mengambil bahagian iaitu Pasukan UBD GENNEXT Pejuang dari Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Pasukan Team ONE-U dari Institut Teknologi Brunei (ITB).

Sehubungan itu, kumpulan jurutera, pemandu serta rombongan dari Negara Brunei Darussalam diraikan pada majlis doa selamat dan selamat berlepas yang diadakan di Dewan Berlepas, Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, hari ini.

Hadir pada majlis berkenaan ialah Naib Canselor UBD, Datin Dr. Hajah Anita Binurul Zahrina binti Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Aziz; Naib Canselor ITB, Profesor Madya Dr. Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman; pegawai-pegawai kanan dari UBD, ITB, Syarikat Pemasaran Brunei Shell Sdn Bhd, Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd, wakil-wakil penaja serta ahli keluarga delegasi Brunei.

Pada majlis berkenaan, bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat telah dipimpin oleh Pengurus Pasukan UBD, Awang Mohd Khairul Zharif bin Haji Mohd Noor.

Datin Dr. Hajah Anita Binurul Zahrina dan Profesor Madya Dr. Hajah Zohrah bergambar ramai dengan pasukan dari ITB dan UBD yang akan menyertai Shell Eco-Marathon Asia 2016.
Datin Dr. Hajah Anita Binurul Zahrina dan Profesor Madya Dr. Hajah Zohrah bergambar ramai dengan pasukan dari ITB dan UBD yang akan menyertai Shell Eco-Marathon Asia 2016.

Dalam temu bual ringkas bersama Media Permata, Awang Mohd Khairul Zharif berkata bahawa pasukan UBD akan mengambil bahagian dalam Kategori Prototaip – Hydrogen Fuel Cell di mana setelah mendapat tempat dalam pertandingan yang serupa pada 2015, pasukan itu kembali beraksi dengan kereta yang diberikan peningkatan terbaru daripada segi rekaan casis kereta dan juga sistem gear kereta berkenaan.

Beliau berkata bahawa kereta itu kini mempunyai berat badan yang lebih ringan berbanding kereta yang menyertai pertandingan pada 2015 dan yakin dengan pembaikan yang telah dibuat kepada kereta itu, mereka akan mendapat tempat lebih baik serta memperbaiki lagi pencapaian negara dalam acara itu.

Di samping itu, beliau memberitahu bahawa kereta itu bukan sahaja projek yang dilaksanakan oleh ahli-ahli pasukannya tetapi merupakan usaha bersama dengan semua penuntut UBD yang tidak kurang memainkan peranan penting dalam menjadikan projek itu satu realiti.

Beliau melahirkan harapan agar kejayaan yang diperoleh bukan sahaja mampu untuk mengharumkan nama negara tetapi juga nama setiap penuntut UBD yang sama-sama memberikan sumbangan kepada merealisasikan impian beraksi di eco-marathon Asia itu.

Sementara itu, Pengurus Pasukan ITB, Dayang Nurbasitah binti Raduan pula menyatakan, penyertaan pasukan ITB dalam acara itu merupakan penyertaan kali pertama di mana mereka menyertai Kategori Prototaip – Battery Electric Vehicle.

Beliau berkata, penyertaan itu merupakan satu pengalaman yang amat berguna bagi mereka dan berharap dengan ilmu pengetahuan serta pengalaman yang diperoleh pada acara itu nanti, mereka akan dapat mengongsikannya dengan rakan-rakan di ITB, pada masa yang sama, menjadi inspirasi untuk penuntut-penuntut lain mengikuti jejak mereka dalam acara itu.

Dayang Nurbasitah berkata bahawa pasukannya menghadapi pelbagai rintangan dan cabaran dalam merealisasikan impian untuk beraksi di Manila, Filipina di mana faktor waktu dan penantian bagi peralatan harus ditempuhi tetapi yakin mereka telah melakukan yang terbaik serta berjaya menghasilkan sebuah kereta yang mampu bersaing dengan peserta-peserta lain.

Dalam acara itu nanti, lebih 100 pasukan dari pelbagai institusi pendidikan di seluruh Asia akan beraksi untuk mempamerkan kereta paling efisien dalam pelbagai kategori semasa acara di Luneta Park nanti.

Orang ramai boleh mengikuti pengembaraan kumpulan inovator muda negara dalam acara itu melalui akaun Instagram mereka @ubdsema dan @itb.sema.

ARTIKEL YANG SAMA