Serlah kualiti penyelidik UBD

Serlah kualiti penyelidik UBD

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Julai – Penyelidikan saintifik yang menunjukkan hubungan unik di antara haiwan keluang pemakan serangga serta tumbuhan, periuk kera (pitcher plant) yang dijalankan di Negara Brunei Darussalam diketengahkan sebagai salah satu rencana dalam terbitan jurnal saintifik biologi yang terkemuka Cell Press Journal, Current Biology.

Kejayaan penerbitan rencana itu yang diusahakan oleh penyelidik dan pensyarah Universiti Brunei Darussalam (UBD), Profesor Dr Ulmar Grafe yang dibantu oleh Graduan UBD dalam Sains Biologi dan Presiden BruWILD, Lin Ji Liaw serta rakan-rakan kerja antarabangsa terdiri daripada Michael Schoner, Caroline Schoner, Profesor Dr Gerald Kerth dari Ernst-Moritz-Arndt-University of Greifswald dan Dr Ralph Simon dari University of Erlangen-Nuremberg, Jerman, bukan sahaja menunjukkan kualiti penyelidikan yang dilaksanakan oleh UBD tetapi juga kejayaan usaha untuk menjadikannya sebagai sebuah universiti penyelidikan penting di dunia serta sebagai destinasi bagi kerjasama penyelidikan penting untuk penyelidik-penyelidik antarabangsa dalam pelbagai bidang termasuk penyelidikan biodiversiti dan alam sekitar.

Kejayaan penerbitan rencana itu bukan sahaja memberikan pendedahan mengenai kajian dan penyelidikan berkualiti yang dijalankan di UBD tetapi ia memberikan kesedaran kepada masyarakat mengenai pentingnya untuk memulihara alam semula jadi khususnya hutan paya gambut negara di mana terdapat pelbagai hubungan ekosistem yang unik masih perlu dikaji.

Perkara itu dijelaskan bersama oleh Lin Ji Liaw dan Profesor Dr Grafe dalam temu bual bersama Media Permata mengenai penerbitan kajian antarabangsa yang diterbitkan dalam jurnal Current Biology, di UBD, hari ini.

Menurut Ji Liaw, kajian yang dilaksanakan dengan bantuan pensyarahnya itu merupakan projek tahun akhir program ijazahnya yang mana penerbitan rencana berkenaan merupakan satu hadiah yang indah baginya setelah melalui pelbagai cabaran, penat-lelah dan kesukaran untuk membuat kajian dan kerja-kerja penyelidikan di hutan.

Lin Ji Liaw (kiri) dan Profesor Dr Grafe (kanan) memberikan penerangan mengenai penyelidikan bersama mereka yang diterbitkan di dalam jurnal Current Biology.
Lin Ji Liaw (kiri) dan Profesor Dr Grafe (kanan) memberikan penerangan mengenai penyelidikan bersama mereka yang diterbitkan di dalam jurnal Current Biology.

Penerbitan rencana itu juga diharap akan menjadi pendorong kepada lebih banyak pelajar dan penyelidikan tempatan Brunei untuk berani meneroka bidang-bidang kajian yang mencabar dan mengharumkan nama negara.

Beliau turut menyatakan harapan dengan pendedahan kepada masyarakat saintifik antarabangsa mengenai penyelidikan itu, ia akan meningkatkan kesedaran kepada masyarakat bukan sahaja berkaitan keunikan flora dan fauna Brunei tetapi akan meningkatkan kesedaran seluruh masyarakat mengenai perlunya untuk memulihara alam semula jadi supaya ekosistem unik itu tidak musnah dan menjadi pupus.

Penyelidikan yang diterbitkan dalam jurnal itu secara ringkas menunjukkan hubungan unik yang saling bermanfaat di antara keluang dengan spesies tumbuhan periuk kera (pitcher plant), Nepenthes hemsleyana, di mana tumbuhan itu memberikan tempat perlindungan yang selamat bagi keluang-keluang berkenaan manakala keluang-keluang itu pula menyediakan tumbuhan berkenaan dengan sumber baja.

Penerbitan penyelidikan itu dalam jurnal berkenaan, menurut Pengarah Institut Penyelidikan Alam Sekitar dan Biodiversiti (IBER), UBD, Profesor Madya Dr Kushan Tennakoon, merupakan satu pencapaian yang signifikan bagi UBD dari segi impak saintifik antarabangsanya.

Beliau berkata, ia bukan sahaja sebagai kejayaan kumpulan penyelidikan di bawah IBER tetapi mampu menjadi tarikan kepada lebih banyak penyelidik antarabangsa untuk berkunjung ke Negara Brunei Darussalam bagi menjalankan penyelidikan dengan penyelidik-penyelidik tempatan dan mengembangkan lagi suasana penyelidikan negara.

Di samping itu, IBER dan Fakulti Sains, UBD, menyediakan rangka kerja yang cemerlang bagi kurikulum sains berasaskan penyelidikan yang membolehkan pelajar-pelajarnya seperti Ji Liaw untuk menyertai dan menyumbang kepada penyelidikan berimpak tinggi.

Pada masa yang sama, Negara Brunei Darussalam yang terletak dalam kelompok biodiversiti terpenting di dunia terus menarik minat penyelidik-penyelidik antarabangsa untuk menjalin hubungan penyelidikan bersama dengan para penyelidik UBD untuk menjana penemuan yang penting serta juga mengendalikan penyelidikan inovatif.

ARTIKEL YANG SAMA