Serlah semangat patriotik

Serlah semangat patriotik

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Feb – Sempena Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-32 yang bertemakan ‘Generasi Berwawasan’, Mukim Sengkurong telah mengadakan Upacara Menaikkan Bendera Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Kemasyarakatan Mukim Sengkurong, hari ini.

Upacara berkenaan, pada tahun ini, telah dikendalikan oleh Majlis Perundingan Kampung (MPK) Sengkurong ‘A’ dan hadir selaku tetamu kehormat ialah Penasihat MPK Sengkurong ‘A’, Dato Paduka Haji Mohd Kassim bin Haji Johan.

Turut hadir ialah penguasa Balai Polis Sengkurong, ketua-ketua kampung di Mukim Sengkurong, ahli-ahli MPK Mukim Sengkurong dan penduduk Mukim Sengkurong.

Upacara telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah diikuti dengan penyerahan bendera di luar dewan berkenaan oleh Dato Paduka Haji Mohd Kassim kepada Ketua Pembawa Bendera.

Suasana upacara menaikkan bendera bagi Mukim Sengkurong.
Suasana upacara menaikkan bendera bagi Mukim Sengkurong.
Antara mereka yang hadir pada Upacara Menaikkan Bendera Negara Brunei Darussalam Sempena Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-32 bagi Mukim Sengkurong.
Antara mereka yang hadir pada Upacara Menaikkan Bendera Negara Brunei Darussalam Sempena Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-32 bagi Mukim Sengkurong.

Majlis kemudian diteruskan dengan menaikkan bendera Negara Brunei Darussalam dengan diiringi nyanyian lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam oleh para hadirin.

Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat sebelum para hadirin menikmati jamuan yang telah disediakan.

Bendera negara merupakan lambang identiti bangsa yang menjadi kebanggaan serta maruah negara yang wajib dihormati dan dipertahankan. Ia juga merupakan ciri penting dalam memperkenalkan sesebuah negara, menjulang imej serta menampakkan peribadi bangsa dan negara.

Selain menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan, upacara berkenaan juga menyerlahkan semangat patriotik yang ada dalam diri setiap penduduk Negara Brunei Darussalam.