Serpihan disyaki MH370 dibawa ke Australia

Serpihan disyaki MH370 dibawa ke Australia

PUTRAJAYA, 18 Julai – Satu serpihan besar pesawat yang ditemukan di Tanzania telah dibawa ke Canberra untuk pemeriksaan bagi menentukan sama ada ia daripada pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370 yang hilang.

Perkara itu disahkan oleh Jabatan Penerbangan Awam Malaysia dan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) dalam kenyataan media bersama yang dikeluarkan hari ini.

Menurut kenyataan berkenaan, serpihan itu, kemungkinan kepingan sayap, ditemukan oleh penduduk setempat di Pulau Pemba, di perairan Tanzania, pada 23 Jun.

“Malaysia dan Australia telah bekerjasama dengan pegawai Tanzania untuk mengambil alih tanggungjawab ke atas kepingan sayap itu,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pakar teknikal daripada ATSB sedang bekerjasama dengan penyiasat Malaysia untuk menentukan jika ia daripada pesawat Boeing 777 milik Malaysia Airlines, MH370.

Setakat ini, ATSB telah memeriksa empat keping serpihan bagi pihak Malaysia dan telah mengesahkan ia hampir pasti daripada MH370.

“Ini adalah tambahan kepada flaperon yang ditemukan di Pulau La Reunion pada 29 Julai tahun lepas dan dikenal pasti secara positif oleh pegawai Perancis sebagai berasal daripada penerbangan MH370,” katanya.

Menurut kenyataan itu, menteri daripada Malaysia, Australia dan China akan bermesyuarat pada 21 dan 22 Julai untuk membincangkan pelbagai perkara berkaitan misi mencari pesawat Malaysia Airlines yang hilang itu.

Penerbangan MH370, membawa 239 penumpang dan anak kapal, dilaporkan hilang sejurus berlepas dari Kuala Lumpur dalam perjalanan ke Beijing pada 8 Mac, 2014. –Bernama

ARTIKEL YANG SAMA