Serpihan misteri jatuh dari langit

Serpihan misteri jatuh dari langit

YANGON, 11 Nov – Satu silinder besi besar yang dipercayai berasal daripada satelit China atau pesawat udara terjatuh dari langit dan merempuh ke kawasan perlombongan jed di utara Myanmar, lapor media negeri hari ini.

Objek berbentuk tong besar, 4.5 meter panjang dan satu meter dalam diameter, terhempas ke kawasan yang dimiliki oleh syarikat perlombongan jed di bandar Hpakant Negeri Kachin semalam, lapor akhbar Global New Light of Myanmar.

Satu lagi besi lebih kecil yang mempunyai tulisan China melanggar bumbung sebuah rumah di kampung berhampiran pada masa yang sama, kata akhbar. Tidak ada sesiapa yang cedera.

“Objek besi itu diandaikan berasal daripada sebahagian satelit atau bahagian enjin kapal terbang atau peluru berpandu,” kata akhbar Global New Light, menambah pihak berkuasa masih cuba mengesahkan asal-usulnya.

Gambar yang disebarkan dalam media sosial menunjukkan apa yang kelihatan seperti bahagian peralatan teknologi dan wayar yang bersambung kepada bahagian dalam silinder besar itu.

Penduduk tempatan dilaporkan terdengar bunyi dentuman kuat sebelum besi itu mendarat dan seterusnya melantun kira-kira 50 meter dari kawasan perlombongan sebelum terjatuh ke dalam lumpur.

Peristiwa pelik itu berlaku pada hari yang sama media negeri China melaporkan Beijing telah melancarkan satelit ke angkasa lepas baru-baru ini. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA