Serpihan sah milik MH370

Serpihan sah milik MH370

KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Pakar antarabangsa mengesahkan serpihan sayap yang dijumpai di Pulau Reunion milik Perancis adalah daripada penerbangan MH370 – menyokong rumusan awal bahawa pesawat Malaysia Airlines terhempas ke dalam Lautan Hindi hampir 17 bulan lepas.

Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata hari ini, pakar-pakar yang berkumpul di Toulouse, Perancis telah mengesahkan serpihan pesawat dijumpai di Pulau Reunion sememangnya daripada MH370.

“Kami sekarang mempunyai bukti fizikal seperti yang saya umumkan pada 24 Mac tahun lepas, penerbangan MH370 berakhir dengan tragik di selatan Lautan Hindi,” Perdana Menteri berkata secara langsung menerusi TV3 pada pukul 1.45 pagi hari ini.

“Pengesahan itu dijangka mengecilkan kawasan pencarian dan meningkatkan harapan untuk menyelesaikan apa yang dikatakan sebagai misteri terbesar dalam sejarah penerbangan moden.

“Hari ini, 515 hari selepas pesawat itu hilang, dengan hati yang berat saya perlu memberitahu anda bahawa pasukan pakar antarabangsa mengesahkan serpihan pesawat yang ditemui di Pulau Reunion adalah milik MH370. Ini adalah kawasan terpencil, bergelora dan berbahaya, dan sebagai mewakili Malaysia saya berterima kasih kepada banyak negara, pertubuhan dan individu yang terlibat dalam pencarian ini.

“Beban dan ketidaktentuan yang dihadapi semua keluarga terlibat sepanjang tempoh ini memang sukar dijelaskan.

“Saya berharap dengan pengesahan ini, walaupun tragik dan menyakitkan, ia setidak-tidaknya memberi kepastian kepada keluarga dan orang tercinta bagi semua 239 orang yang berada di dalam MH370. Kami turut bersimpati dan berdoa untuk mereka.

“Saya ingin memberi jaminan kepada mereka yang terjejas akibat tragedi ini bahawa kerajaan Malaysia komited untuk melakukan apa yang terdaya untuk mencari kepastian apa yang sebenarnya berlaku.

“Kehilangan MH370 menyebabkan kita bersatu sebagai satu bangsa. Kami berkabung bersama anda, sebagai satu negara. Saya menjanjikan ini: Malaysia akan sentiasa memperingati mereka yang terkorban dalam MH370,” jelas Najib

Sementara itu di Beijing, China, ahli-ahli keluarga penumpang pesawat MH370 menyuarakan kemarahan dan tidak percaya, setelah Datuk Seri Najib berkata bahawa rangka yang ditemui di Pulau Reunion itu adalah dari pesawat malang itu.

Kebanyakan penumpang pesawat tersebut adalah warga China dan berpuluh ahli keluarga mereka berhimpun di luar pejabat MAS di Beijing dalam keadaan penuh kemarahan.

“Saya tidak percaya dengan maklumat terbaru mengenai pesawat itu, mereka telah berbohong kepada kami sejak dari mula lagi,” kata Zhang Yongli, yang mana anak perempuannya merupakan salah seorang penumpang pesawat malang itu.

“Saya tahu, anak saya masih hidup, tetapi mereka tidak mahu memberitahu perkara yang sebenar,” katanya sambil mengibarkan bendera Parti Komunis China. – Bernama/AFP

ARTIKEL YANG SAMA