Sertai kembali Piala Malaysia

Sertai kembali Piala Malaysia

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 April – Penyertaan semula pasukan bolasepak kebangsaan Negara Brunei Darussalam dalam Piala Malaysia merupakan salah satu daripada banyak perkara yang akan dibincangkan bersama dengan rakan-rakan sejawat di Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Perkara itu suatu kemungkinan, ujar Pemangku Timbalan Presiden Persatuan Bola sepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NFABD), Haji Madli bin Haji Mohamad Yussof dalam temu bual media ketika menyentuh mengenai objektif Lawatan Kerja NFABD ke FAM.

Seramai 11 orang Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) NFABD termasuk Pemangku Setiausaha Agong NFABD, Pengiran Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud yang diketuai oleh Haji Madli telah pun berlepas menuju Kuala Lumpur, Malaysia petang ini bagi mengadakan Lawatan Kerja ke FAM sehingga 22 April berkenaan.

Antara lain objektif utama lawatan kerja itu adalah bagi berbincang sebagai merintis hubungan dua hala sambil bertukar-tukar maklumat dan pengalaman dari sudut pengurusan dan pentadbiran, jelas Haji Madli kepada media.

“Kita akan cuba mempelajari dan mengambil amalan terbaik dari sudut pengurusan dan pentadbiran di FAM dalam usaha kita memantapkan lagi pengurusan dan pentadbiran NFABD,” jelasnya lanjut.

Haji Madli (lima kanan) dan Pengiran Amirrizal (tengah) bersama sembilan orang EXCO NFABD yang menyertai lawatan kerja ke FAM berkenaan.
Haji Madli (lima kanan) dan Pengiran Amirrizal (tengah) bersama sembilan orang EXCO NFABD yang menyertai lawatan kerja ke FAM berkenaan.
Enam atlet muda olahraga Brunei Darussalam bersama Siti Adia (empat dari kiri) dan Joseph (kanan) sebelum berlepas ke Bangkok.
Enam atlet muda olahraga Brunei Darussalam bersama Siti Adia (empat dari kiri) dan Joseph (kanan) sebelum berlepas ke Bangkok.

NFABD juga akan melihat dari segi kepentingan bersama untuk merangka kerjasama dua hala dalam hal ehwal latihan serta penempatan tenaga kerja dan pemain kedua-dua pihak dalam usaha berterusan NFABD memajukan bolasepak negara, katanya.

Beliau seterusnya mendedahkan bahawa lawatan kerja seumpama itu adalah yang pertama tetapi bukan yang terakhir iaitu akan diteruskan dengan lawatan-lawatan kerja ke persatuan-persatuan bolasepak lain di rantau ASEAN ini.

Menurutnya, FAM menjadi lawatan pertama NFABD memandangkan kepada sejarah kerjasama antara keduanya seperti penyertaan pasukan kebangsaan Brunei Darussalam dalam Piala Malaysia dan Piala Borneo.

Haji Madli berharap lawatan itu akan mendatangkan hasil positif kepada FAM dan NFABD serta mengeratkan lagi hubungan dua hala antara mereka bahkan lebih akrab lagi.

Sementara itu, enam orang atlet olahraga remaja Negara Brunei Darussalam akan bersaing dalam 11th SEA Youth Athletic Championship (Kejohanan Olahraga Remaja Asia Tenggara Kali Ke-11) 2016 di Thailand pada 23 hingga 24 April ini.

Atlet-atlet itu ialah Maizurah binti Abdul Rahim, Ernie Sahrina binti Abdul Fattah, Muhd Ammar Safwan bin Haji Zaidin, Muhd Wafiq bin Kifli, Muhd Nurfirdaus Abdullah bin Mohd Faizal dan Muhd Luqman Wadihan bin Ramlan.

Sehubungan dengan itu, mereka telah berlepas menuju Bangkok, Thailand akhir petang ini diiringi oleh Setiausaha Agong Persekutuan Olahraga Brunei Darussalam (BDAF), Siti Adia binti Tawang dan Jurulatih, Joseph Kameni Nkopipie.

Dalam kejohanan yang akan mengambil tempat di Kompleks Sukan Universiti Thammasat, Thailand berkenaan, atlet muda negara akan menyertai acara lari 100 meter (m), 200m, 400m, 800m, 1500m, lontar peluru, lempar cakera dan lompat jauh.

ARTIKEL YANG SAMA