Sertai LHSN

Sertai LHSN

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Jun – Dalam usaha untuk meningkatkan lagi sistem penjagaan kesihatan khususnya untuk rakyat di negara ini, Kementerian Kesihatan telah menyertai Rangkaian Sistem Kesihatan Utama (LHSN) dengan menandatangani surat perjanjian dengan Imperial College, London, baru-baru ini.

Penandatanganan surat perjanjian bagi penyertaan dalam rangkaian tersebut telah diadakan pada 27 Mei lalu ketika satu lawatan sambil belajar ke Institut Inovasi Kesihatan Global, Imperial College, London.

Semasa lawatan itu, delegasi Kementerian Kesihatan yang diketuai oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional), Dr Hajah Maslina binti Haji Mohsin, telah dialu-alukan oleh Pengarah Institut dan Pengerusi LHSN, Profesor the Lord Darzi of Denham.

Kementerian Kesihatan, dalam kenyataannya di sini, hari ini, menjelaskan bahawa LHSN merupakan satu inisiatif bersama Imperial College, London dengan kerjasama Sidang Kemuncak Inovasi Sedunia bagi Kesihatan.

Ia merupakan rangkaian kerjasama para pemimpin dan organisasi-organisasi penjagaan kesihatan yang didedikasikan untuk memperbaiki penyampaian penjagaan kesihatan dengan menggunakan sumber-sumber yang ada dengan efektif dan cekap.

Rangkaian berkenaan menghimpunkan idea-idea, model penjagaan dan strategi-strategi terbaik untuk menjana penambahbaikan yang mapan, menghubungkan pemimpin-pemimpin penjagaan kesihatan dengan komuniti setara yang berfikiran sama, yang berkongsi matlamat dan cabaran-cabaran sama.

Menurut kenyataan itu lagi, sepanjang tahun 2016 ini, LHSN melaksanakan satu program selama setahun yang memfokuskan ke atas penjagaan selamat dinamakan Safer Care Accelerator.

Profesor the Lord Darzi of Denham (kiri) dan Dr Hajah Maslina semasa penandatanganan dan pertukaran surat perjanjian bagi penyertaan Kementerian Kesihatan dalam  LHSN di Institut Inovasi Kesihatan Global, Imperial College, London.
Profesor the Lord Darzi of Denham (kiri) dan Dr Hajah Maslina semasa penandatanganan dan pertukaran surat perjanjian bagi penyertaan Kementerian Kesihatan dalam LHSN di Institut Inovasi Kesihatan Global, Imperial College, London.

Ia menghimpunkan pemimpin-pemimpin dan organisasi penjagaan kesihatan untuk bertukar-tukar pandangan, pengalaman dan data mengenai keselamatan pesakit. Inisiatif pertama dalam program ini adalah, Kad Skor Maklumat Keselamatan Pesakit.

Usaha ini akan memberikan gambaran komparatif mengenai maklumat apa yang digunakan bagi keselamatan pesakit di seluruh dunia dan bagaimana efektifnya maklumat ini digunakan di seluruh sistem penjagaan kesihatan.

Kad skor berkenaan akan meliputi pelbagai kategori maklumat keselamatan pesakit (contohnya data pentadbiran) yang dikumpulkan dari seluruh proses penjagaan kesihatan, dari penjagaan asas, penjagaan akut, dan kesihatan mental.

Di Brunei Darussalam, menurut kenyataan itu lagi, data anonimus diambil daripada Sistem Pengurusan Maklumat Kesihatan Brunei (BruHIMS), iaitu sistem elektronik satu rekod satu pesakit Kementerian Kesihatan yang kini meliputi 95 peratus penduduk, akan digunakan sebagai sebahagian daripada program Safer Care Accelerator itu untuk meningkatkan lagi penambahbaikan ke atas keseluruhan sistem penjagaan kesihatan di negara ini.

Kementerian Kesihatan menekankan bahawa penyertaan dalam LHSN ini merupakan aktiviti penting ke arah memenuhi keutamaan strategiknya bagi tempoh lima tahun, iaitu untuk menjadikan kesihatan kepentingan semua, untuk menghalang dan mengawal penyakit tidak berjangkit, dan untuk memberikan perkhidmatan cemerlang menerusi penjajaran dan penggabungan.

Penggunaan data kuantitatif, bukti dan perkongsian amalan terbaik, digabungkan dengan analisis rapi dalam perkongsian dengan institusi-institusi terkemuka dunia, berguna ke arah mencapai visi kementerian mengenai Brunei Darussalam yang sihat.

Di samping belajar, Kementerian Kesihatan juga tidak sabar untuk berkongsi dam menyumbang contoh-contoh amalan terbaik dengan organisasi-organisasi berfikiran sama yang lain.

Beberapa contoh ini termasuk pengajaran yang didapati daripada penggabungan beberapa pusat penjagaan kesihatan asas yang kecil menjadi Pusat Kesihatan Berakas yang lebih besar, penggunaan teknik-teknik pengurusan seperti metodologi untuk mengurangkan masa menunggu rujukan penjagaan payu dara daripada penjagaan asas kepada sekunder, dan pendekatan original dalam perkongsian antara sektor untuk menghalang dan mengawal penyakit tidak berjangkit.

Penyertaan kementerian dalam rangkaian itu, tambah kenyataan itu, merupakan cara inovatif untuk menggerakkan agenda kesihatan ke hadapan dan akan menyumbang kepada penambahbaikan perkhidmatan kesihatan dan penjagaan kesihatan di Brunei dan juga global.

Institusi-institusi yang menyertai rangkaian ini termasuk NHS England dan NHS Greater Glasgow serta Clyde (United Kingdom), Vancouver Coastal Health (Kanada), Hamad Medical Corporation (Qatar), Victoria Department of Health and Human Services (Australia), Changi General Hospital (Singapura) dan Hong Kong Hospital Authority (Hong Kong).