Sertai misi IMT, UNIFIL

Sertai misi IMT, UNIFIL

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Ogos – Negara Brunei Darussalam terus memainkan peranan bersama rakan-rakan serantau lain dan menekankan lagi komitmen dalam menguatkuasakan gencatan senjata di Mindanao dengan penyertaan enam anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan seorang anggota Pasukan Polis Diraja Brunei untuk menyertai Misi Pasukan Pemantauan Antarabangsa (IMT) ke-12.

Selain itu juga dalam mempertahankan keamanan dan kestabilan di Lubnan selaras dengan mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan penyertaan 29 anggota ABDB bagi menyertai pasukan Malaysia di bawah Batalion Malaysia 850 (MALBATT 850-3) bagi misi Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL).

Sehubungan itu, Upacara Penyerahan Bendera kepada anggota ABDB bagi misi IMT ke-12 dan misi UNIFIL-MALBATT 850-3 telah diadakan di Pusat Pergerakan Udara (AMC), Tentera Udara Diraja Brunei, Rimba, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemerintah ABDB, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah yang juga menyempurnakan pemasangan logo kepada setiap anggota IMT serta pemasangan logo dan beret kepada setiap anggota UNIFIL.

Turut hadir di majlis tersebut ialah ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif Pertahanan, pemangku pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Penasihat Pertahanan Filipina ke Negara Brunei Darussalam, pemerintah-pemerintah angkatan tentera dan komandan, para pengarah, pegawai kanan dan pegawai di Kementerian Pertahanan dan ABDB serta ahli keluarga.

Yang Dimuliakan Pehin Mohd Tawih menyerahkan bendera kepada Ketua Kontinjen UNIFIL, Kapten Mohd Faizi.
Yang Dimuliakan Pehin Mohd Tawih menyerahkan bendera kepada Ketua Kontinjen UNIFIL, Kapten Mohd Faizi.
Yang Dimuliakan Pehin Mohd Tawih mengenakan logo kepada anggota pasukan IMT di upacara berkenaan.
Yang Dimuliakan Pehin Mohd Tawih mengenakan logo kepada anggota pasukan IMT di upacara berkenaan.
Yang Dimuliakan Pehin Mohd Tawih memasangkan logo dan beret kepada anggota kontinjen UNIFIL di upacara itu.
Yang Dimuliakan Pehin Mohd Tawih memasangkan logo dan beret kepada anggota kontinjen UNIFIL di upacara itu.
Yang Dimuliakan Pehin Mohd Tawih menyerahkan bendera kepada Ketua Pasukan IMT, Leftenan Kolonel Azman.
Yang Dimuliakan Pehin Mohd Tawih menyerahkan bendera kepada Ketua Pasukan IMT, Leftenan Kolonel Azman.

Seramai enam orang anggota ABDB dan seorang anggota dari Pasukan Polis Diraja Brunei akan menyertai Misi IMT ke-12 di Mindanao, Republik Filipina yang diketuai oleh Leftenan Kolonel Azman bin Haji Bangkol.

Anggota lain yang menyertai Pasukan IMT itu ialah Mejar Sheikh Faisal bin Dato Paduka Sheikh Adnan, Kapten Mohd Rushdi bin Haji Awang Yusuf, Penolong Penguasa Polis Awangku Haji Mohd Khairul Anuar bin Pengiran Haji Ahmad, Pegawai Waran 1 Zailani bin Haji Kamis, Pegawai Waran 1 Pengiran Saini bin Pengiran Haji Jumaat dan Pegawai Waran 2 Mustapa bin Haji Salleh.

Sementara itu, seramai 29 orang anggota ABDB akan berlepas ke Lubnan bagi misi Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL), yang akan diketuai oleh Kapten Mohd Faizi bin Haji Tarif.

Yang Dimuliakan Pehin Mohd Tawih serta jemputan khas yang hadir di majlis berkenaan.
Yang Dimuliakan Pehin Mohd Tawih serta jemputan khas yang hadir di majlis berkenaan.
Yang Dimuliakan Pehin Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih serta jemputan khas bergambar ramai dengan Pasukan IMT dan Kontinjen UNIFIL.
Yang Dimuliakan Pehin Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih serta jemputan khas bergambar ramai dengan Pasukan IMT dan Kontinjen UNIFIL.

Majlis menyaksikan Yang Dimuliakan Pehin Mohd Tawih melampirkan logo kepada setiap anggota IMT dan melampirkan logo serta memasang beret kepada setiap anggota UNIFIL. Beliau juga turut menyaksikan penyerahan bendera kepada Ketua Pasukan IMT, Leftenan Kolonel Azman dan Ketua Kontinjen UNIFIL, Kapten Mohd Faizi.

Pasukan IMT dan Kontinjen Brunei bagi misi UNIFIL dijadualkan akan berlepas pada 31 Ogos ini.

Penyertaan dalam operasi luar negara itu merupakan peristiwa amat penting bagi Brunei atas usaha kerjasama serantau untuk menyokong keamanan dan kestabilan negara-negara jiran.

Manakala penglibatan negara dalam tugas berkenaan telah membuka peluang kepada anggota ABDB dan Pasukan Polis Diraja Brunei untuk menimba pengalaman serta pendedahan dalam misi-misi luar negara.

Negara Brunei Darussalam telah mengambil bahagian dalam misi pengamanan UNIFIL sejak 2008.

ARTIKEL YANG SAMA