Sertai Persidangan SEANET

Sertai Persidangan SEANET

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Okt – Persekutuan Radio Amatur Negara Brunei Darussalam (BDARA) telah menghantar delegasi seramai 17 orang untuk menyertai Persidangan Rangkaian Perhubungan Radio Amatur Asia Tenggara (SEANET) ke-43, kendalian Amateur Radio League India di Korala, India, yang akan bermula esok (15 Oktober) hingga 18 Oktober.

Sehubungan dengan itu, majlis penyerahan bendera kebangsaan kepada Presiden BDARA, Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman bin Pengiran Haji Damit oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info Komunikasi (AITI), Pengiran Haji Mohd Zain bin Pengiran Haji Abdul Razak telah diadakan di Dewan Berlepas, Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, hari ini.

Turut hadir dan sama-sama mengucapkan selamat belayar kepada delegasi berkenaan ialah ahli-ahli keluarga persekutuan berkenaan.

Antara kegiatan yang akan dijalankan semasa persidangan itu nanti ialah seminar mengenai perhubungan kecemasan, perbincangan, laporan pertandingan radio serta perkara yang berkaitan teknikal, pemilihan tuan rumah bagi Persidangan SEANET ke-45 dan mengadakan lawatan ke tempat-tempat menarik.

Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman bergambar ramai bersama tetamu kehormat dan delegasi BDARA.
Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman bergambar ramai bersama tetamu kehormat dan delegasi BDARA.

Persidangan SEANET ke-44 iaitu pada 2016 akan diadakan di Pattaya, Thailand.

Persidangan tahunan itu telah diadakan di beberapa buah negara di Asia Pasifik yang mana ia merupakan satu perhimpunan terbesar bagi ahli-ahli radio amatur serta keluarga untuk bertemu antara satu sama lain bagi mengeratkan hubungan persahabatan yang sedia terjalin.

Ia juga memberikan peluang bagi mereka untuk berkongsi pengalaman mengenai beberapa perkara yang berkaitan teknikal peralatan radio yang terkini. Di samping itu juga, para peserta turut berpeluang menguji peralatan radio dan mengetahui penyebaran gelombang di udara mengikut muka bumi negara masing-masing.

BDARA telah diaktifkan semula pada 14 April 2008 dan ia merupakan salah sebuah persatuan yang menjadi sukarelawan kepada Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) dalam memberi bantuan perhubungan semasa menangani kejadian bencana alam pada bila-bila masa diperlukan serta bergiat aktif dalam kerja-kerja kebajikan seperti membantu pihak jabatan kerajaan dan swasta dalam memberi bantuan perhubungan radio amatur semasa mengadakan kegiatan sukan seperti larian amal.

BDARA pernah menjadi tuan rumah kepada persidangan SEANET sebanyak dua kali iaitu pada 1999 dan 2011.

SEANET mula berperanan secara aktif pada 1964, pada mulanya ia bertindak sebagai perhubungan radio dalam keadaan kecemasan perubatan dan bencana laut yang berlaku di rantau Asia Tenggara.

Selepas beberapa tahun, SEANET bukan saja hanya membantu ketika kejadian bencana tetapi juga mula berubah memberi maklumat kegembiraan dalam perhubungan persahabatan dalam kalangan ahli-ahlinya.

ARTIKEL YANG SAMA