Sesat di huta...

Sesat di hutan ketika berjoging

Oleh Arissa

 

LIMBANG, 15 Feb – Tempoh enam jam menjadi memori pahit bagi seorang pelajar yang sesat ketika berjoging di Taman Rekreasi Tasik Mas sebelum dijumpai oleh pasukan mencari dan menyelamat dalam kejadian yang berlaku petang semalam.

Mangsa Marverick Russel, 15,  yang juga anak anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) keluar berjoging bersama dua lagi rakannya di taman itu sekitar jam 5 petang sebelum dilaporkan tidak keluar dari kawasan itu pada jam 7 malam.

Menurut ahli keluarga mangsa, ketika kejadian mangsa meninggalkan dua rakannya di belakang ketika menaiki bukit di taman tersebut.

“Mangsa yang tidak mengetahui jalan keluar akibat keadaan gelap menyebabkannya sesat di kawasan berkenaan,” katanya kepada media hari ini.

Menurut mereka lagi mangsa sebelum ini pernah berjoging di kawasan berkenaan, namun pertama kali menggunakan laluan paling jauh di taman berkenaan.

Marverick (kiri) ditemani ibunya sebaik ditemui selamat malam tadi.
Marverick (kiri) ditemani ibunya sebaik ditemui selamat malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Limbang, Tawang Lingem berkata, seramai sembilan anggota bergegas ke lokasi kejadian sebaik dimaklumkan orang awam kepada pihaknya pada jam 9:35 malam.

Selain bomba katanya anggota PGA dengan kekuatan 31 anggota turut mengadakan operasi mencari sekitar jam 7 malam sebaik menyedari mangsa tidak pulang selepas dimaklumkan oleh rakannya.

“Pihak Bomba seramai sembilan orang bersama 31 orang anggota PGA dan empat orang pendaki awam yang dibahagikan kepada tiga pasukan melakukan pencarian dalam hutan di tiga laluan ke puncak bukit Taman Reakreasi Tasik Mas,” katanya kepada media semalam.

Pencarian katanya dilakukan dalam radius 500 meter dari lokasi terakhir mangsa dilihat.

“Ketika operasi mencari, pasukan mencari dan menyelamat turut memanggil nama mangsa dan mangsa kemudiannya memberi respons yang akhirnya membawa kepada penemuan mangsa sekitar jam 11:09 malam tadi,” katanya lagi.