SESCO, MPAS meterai perjanjian beli tenaga

SESCO, MPAS meterai perjanjian beli tenaga

KUCHING, 3 Feb – Sarawak Energy Bhd (SEB) menerusi unit milik penuhnya, Syarikat SESCO Bhd, hari ini memuktamadkan perjanjian pembelian tenaga dengan Malaysian Phosphate Additives (Sarawak) Sdn Bhd (MPAS) bagi pembekalan tenaga 150 MV untuk kilang fosfat bersepadu MPAS yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara.

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, merasmikan majlis menandatangani perjanjian yang melibatkan SESCO dan MPAS.

MPAS adalah syarikat usaha sama antara Malaysian Phosphate Venture Sdn Bhd dan Arif Enugma Sdn Bhd yang juga sebuah syarikat pegangan pelaburan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SEB, Datuk Thorstein Dale Sjotveit, berkata keputusan MPAS untuk membangunkan sebuah kompleks di Sarawak jelas membuktikan SEB berada di landasan tepat bagi merealisasikan hasratnya menjadi syarikat peneraju bagi ASEAN.

Menurutnya, Sarawak berjaya menurunkan tarif elektrik peringkat domestik, komersial dan industri hasil lonjakan kapasiti penjanaan dan kos penghasilan tenaga elektrik lebih rendah dari Murun dan Bakun.

Malah, ia juga ternyata terus menarik pelanggan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Katanya, di bawah peringkat awal SCORE, SEB sudah memeterai 14 perjanjian yang mewakili komitmen permintaan tenaga melebihi 3,000 MV.

“Pembangunan bermakna ini yang bernilai RM1.9 bilion adalah tambahan terbaharu kepada Taman Perindustrian Samalaju di Bintulu selain mengiktiraf negeri ini sebagai destinasi ideal untuk para pelabur berdasarkan kemampuannya membekalkan tenaga boleh diperbaharui yang terjamin serta berpatutan selain dasar yang mesra perniagaan,” katanya. – Bernama