Sesi bimbingan MPK Tutong

Sesi bimbingan MPK Tutong

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 8 Okt – Sesi bimbingan bagi majlis-majlis perundingan kampung (MPK) yang terpilih ke peringkat separuh akhir Anugerah Kampung Cemerlang (AKC) 2015 telah diteruskan hari ini, dengan kali ini bagi MPK Daerah Tutong yang berlangsung di Pejabat Daerah Tutong.

Sesi yang dikendalikan oleh Jabatan Daerah Tutong dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri itu dihadiri oleh ahli-ahli jawatankuasa empat MPK yang terpilih di daerah ini.

Turut hadir ialah Pegawai Daerah Tutong, Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali dan Penolong Pegawai Daerah Tutong, Haji Adanan bin Haji Adam.

Dalam ucapannya alu-aluannya, Awang Wardi mengucapkan tahniah kepada empat buah kampung yang terpilih ke peringkat separuh akhir yang menurutnya ini menunjukkan pencapaian yang baik berbanding tahun sebelumnya.

Awang Wardi menjelaskan sesi bimbingan yang diadakan ini adalah menjurus kepada penghasilan kampung dengan melihat perlaksanaan yang dibuat di kampung tersebut, hasil yang dicapai termasuk melihat daripada aspek perekonomian, keselamatan, keagamaan, kemasyarakatan, keceriaan dan kebersihan.

Awang Wardi ketika menyampaikan ucapan di sesi bimbingan tersebut.
Awang Wardi ketika menyampaikan ucapan di sesi bimbingan tersebut.

Beliau menyarankan kepada MPK di Daerah Tutong yang tidak terpilih pada tahun ini akan lebih menumpukan kelemahan-kelemahan mereka dan ditingkatkan lagi.

Sementara itu, sebelum sesi bimbingan dijalankan, Pegawai Tugas-Tugas Khas di Jabatan Daerah Tutong, Haji Haizul Rizal bin Haji Yahya menyampaikan sedikit ucapan yang berkata sesi ini juga memberikan bimbingan kepada ahli-ahli MPK khususnya dari aspek pembentangan kertas dokumentasi MPK mengikut kriteria-kriteria pemarkahan yang akan dinilai oleh para hakim di peringkat separuh akhir yang akan diadakan pada bulan November ini.

Semasa sesi tersebut, taklimat telah disampaikan oleh pegawai-pegawai dari Bahagian Institusi Mukim dan Kampung Jabatan Daerah Tutong dan juga daripada Pegawai Projek Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Awang Ahmad Fazil bin Zakaria yang juga selaku Urus Setia AKC.

Sesi bimbingan ini adalah bagi membantu ahli-ahli MPK dalam menyediakan maklumat-maklumat yang diperlukan dengan lebih komprehensif dan dapat dibuktikan dengan lebih jelas kepada para panel hakim.

Semasa AKC 2014 yang lalu, MPK Kiudang telah berjaya mendapat Anugerah Gangsa.

Sebanyak 30 MPK di seluruh negara telah terpilih ke peringkat separuh akhir AKC 2015 iaitu 12 MPK mewakili Daerah Brunei dan Muara, lapan mewakili Daerah Belait, enam dari Daerah Temburong dan empat dari Daerah Tutong iaitu MPK Lamunin, MPK Kiudang, MPK Telisai dan MPK Bukit.

ARTIKEL YANG SAMA