Sesi bincang perjanjian pelaburan & timbang tara

Sesi bincang perjanjian pelaburan & timbang tara

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Mei – Pejabat Peguam Negara (AGC), semalam, telah mengadakan sesi perkongsian dan perbincangan bertajuk “Perjanjian Pelaburan dan Timbang Tara Antarabangsa” yang dihadiri oleh para pegawai dari AGC, kementerian-kementerian kerajaan yang terlibat dalam rundingan perjanjian bebas perdagangan serta ahli-ahli Persatuan Peguam.

Penceramah jemputan bagi sesi berkenaan ialah Penelope Nevill, yang merupakan Peguam Junior di 20 Essex Street, iaitu pejabat peguam komersial di London.

Nevil juga merupakan seorang peguam di Mahkamah Keadilan Antarabangsa, Mahkamah Eropah bagi Hak Asasi Kemanusiaan, dan tribunal UNCLOS Annex VII dan Mahkamah Tinggi (Mahkamah Divisyen Inggeris) dan Mahkamah Rayuan United Kingdom.

Beliau juga terlibat dalam prosiding bagi tribunal timbang tara di bawah perjanjian-perjanjian pelaburan dan konvensyen undang-undang serta mahkamah domestik yang melibatkan isu undang-undang antarabangsa awam.

Penelope Nevill menyampaikan ceramah semasa sesi berkenaan.
Penelope Nevill menyampaikan ceramah semasa sesi berkenaan.

Di samping itu, beliau juga pensyarah bersekutu di Unversiti Cambridge, pensyarah di Universiti Auckland dan juga mengajar di King’s College, London.

Sesi berkenaan membincangkan pengenalan kepada undang-undang yang berhubung kait dengan perjanjian pelaburan serta proses Penyelesaian Pertikaian Pelabur-Negara (ISDS).

Di samping itu, ia juga membincangkan konsep-konsep “layanan adil dan saksama” dan langkah-langkah ekspropriasi dan trend sekarang mengenai interpretasi tribunal timbang tara terhadap dua konsep ini.

Sesi itu turut membincangkan jenis-jenis keselamatan yang seharusnya ditumpukan oleh Negara Brunei Darussalam terhadap membangunkan perjanjian pelaburan model sendiri.

ARTIKEL YANG SAMA