Sesi dialog bincang ekosistem perniagaan

Sesi dialog bincang ekosistem perniagaan

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Dis – Sekolah Perdagangan (SBS), Politeknik Brunei, kelmarin, telah mengendalikan sesi Dialog Bersama Industri yang diadakan di Pusat Sehenti, Politeknik Brunei, Jalan Ong Sum Ping.

Seramai 20 peserta daripada pelbagai organisasi termasuk sektor kerajaan, syarikat-syarikat swasta dan pertubuhan bukan kerajaan dijemput untuk menghadiri sesi berkenaan yang dimudah carakan oleh rakan kongsi KPMG (Brunei), Haji Shazali bin Dato Haji Sulaiman.

Turut hadir ialah Pemangku Pengarah Politeknik Brunei, Denis Ho Mun Tai, Pemangku Penolong Pengarah Politeknik Brunei, Awang Alias bin Haji Abu Bakar, ketua-ketua jabatan dan para pensyarah dari SBS Politeknik Brunei.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, sesi dialog ini berobjektif untuk membincangkan hal ehwal semasa ekosistem perniagaan di Brunei Darussalam serta mengenal pasti pihak-pihak yang berminat dan berhasrat untuk menjadi ahli Jawatankuasa Penasihat Program SBS Politeknik Brunei.

Selain itu, ia juga diadakan untuk meneroka kerjasama dengan pakar-pakar industri dalam memastikan kaitan dan kualiti program-program serta kandu-ngan modul yang ditawarkan bagi menyahut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Majlis Konvokesyen 2015 Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Institut Teknologi Brunei (ITB) baru-baru ini.

ARTIKEL YANG SAMA