Sesi dialog DARe bersama pengusaha wanita

Sesi dialog DARe bersama pengusaha wanita

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Jun – (Darussalam Enterprise) DARe telah mengadakan sesi dialog ke-6, hari ini, bersama pengusaha-pengusaha wanita yang berlangsung di Auditorium Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi (D&T).

Soon Loo ketika menjelaskan isu-isu yang telah dibangkitkan ketika sesi dialog berkenaan.
Soon Loo ketika menjelaskan isu-isu yang telah dibangkitkan ketika sesi dialog berkenaan.

Lebih 60 orang yang terdiri daripada ahli-ahli Majlis Perniagaan Wanita (WBC) Brunei Darussalam, dari beberapa buah agensi kerajaan dan institusi pendidikan, para usahawan wanita dan beberapa orang individu yang berminat menghadiri sesi kali ini.

Hadir pada sesi dialog berkenaan ialah Ketua Pegawai Eksekutif DARe, Awang Soon Loo yang juga selaku salah seorang ahli panel dialog berkenaan.

Tujuan dialog DARe ini diadakan adalah bagi mengetahui isu-isu yang telah dialami oleh para usahawan wa-nita, di mana DARe akan bekerjasama dengan agensi-agensi berkaitan untuk menambah baik ekosistem perniagaan bagi perniagaan kecil dan sederhana (PKS) di Negara Brunei Darussalam.

Majlis telah dimulakan dengan taklimat tentang latar belakang serta penjelasan lebih lanjut mengenai DARe yang disampaikan oleh salah seorang pegawai dari agensi kerajaan, dan diteruskan dengan ucapan Presiden WBC Brunei Darussalam, Datin Paduka Hajah Rokiah binti Haji Zakiah.

Agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam sesi dialog berkenaan termasuk Bahagian Kawalan Makan Halal dari Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jabatan Tenaga Kerja, Bahagian Pelaburan Global Halal, dan Jabatan Perbendaharaan dari Kementerian Kewangan.

Majlis diteruskan lagi dengan acara utama iaitu dialog bersama usahawan wanita.

Antara isu yang telah dibangkitkan ketika dialog berkenaan ialah mengenai pensijilan Halal di mana para usahawan terutama yang terlibat dengan pemakanan telah mengalami sedikit kesukaran mengenai proses-proses bagi mendapatkan pengiktirafan.

Selain itu, isu-isu lain yang turut diberikan perhatian termasuklah mengenai tapak tanah di kawasan perniagaan serta akademi industri perniagaan yang telah dirancang oleh DARe.

 

ARTIKEL YANG SAMA