Sesi Dialog Mukim Berakas ‘A’, ‘B’ bincang permasalahan ke MMN

Sesi Dialog Mukim Berakas ‘A’, ‘B’ bincang permasalahan ke MMN

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Dis – Majlis Ramah Mesra atau sesi perjumpaan dan Sesi Dialog bersama Penghulu dan Ketua Kampung Zon 1 bagi Mukim Berakas ‘A’ dan Mukim Berakas ‘B’ bagi membincangkan permasalahan kampung dan mukim yang akan dibawa ke Persidangan Majlis Mesyuarat Negara bagi tahun 2016 nanti telah berlangsung hari ini, di Dewan Gerakan, Jabatan Daerah Brunei dan Muara, Lapangan Terbang Lama, Berakas.

Hadir mempengerusikan majlis itu ialah Yang Berhormat Haji A. Ahmad bin Husain. Turut hadir di majlis itu ialah Timbalan Pengerusi Majlis Perundingan Mukim (MPM), Haji Akim bin Mat Yassin dan Pengiran Saleh bin Haji Kamaludin.

Yang Berhormat Haji A. Ahmad dalam ucapannya berkata, perjumpaan Mukim Berakas ‘A’ dan ‘B’ dapat menyokong titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan rakyat dan penduduk negara ini sentiasa hidup dalam keadaan aman damai dan sejahtera.

Yang Berhormat Haji A. Ahmad semasa mempengerusikan majlis berkenaan.
Yang Berhormat Haji A. Ahmad semasa mempengerusikan majlis berkenaan.

Di samping itu, ia juga dapat merapatkan dan mengeratkan hubungan silaturahim antara penghulu dan ketua kampung di Mukim Berakas ‘A’ dan ‘B’.

Perjumpaan itu, jelas Yang Berhormat lagi, adalah bagi mendengar dan menerima pandangan dan nasihat serta permasalahan yang ada sekiranya dapat disampaikan dan diterima pada persidangan MMN nanti.

“Perjumpaan ini juga untuk mengangkat semangat kesepakatan dalam mukim yang sebumbung iaitu Mukim Berakas ‘A’ dan ‘B’, mudah-mudahan hasrat yang bincangkan pada pagi ini akan dicapai dengan baiknya,” tambah beliau.

Pada sesi perjumpaan dan dialog itu, Yang Berhormat telah menyentuh 34 permasalahan yang sudah dibincangkan, yang akan dibincangkan atau dihadapkan ke Majlis Mesyuarat Negara (MMN) nanti.

ARTIKEL YANG SAMA