Sesi kaunseling bantu tangani masalah sosial kakitangan

Sesi kaunseling bantu tangani masalah sosial kakitangan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Okt – Sesi bimbingan dan kaunseling yang dijalankan secara profesional boleh membantu usaha menangani pelbagai masalah sosial dalam kalangan pegawai dan kakitangan jabatan termasuk pecah amanah, dadah, konflik keluarga, masalah di antara kakitangan, tekanan kewangan dan pelbagai masalah lain yang berkaitan dengan kehidupan individu yang boleh menjejaskan keberkesanan bekerja dan pengeluaran serta perkhidmatan.

Sesi bimbingan dan kaunseling secara profesional boleh menanam sikap bertimbang rasa serta bertanggungjawab di mana bimbingan dan kaunseling amat penting untuk mengembalikan aspek kemanusiaan memandangkan ia melibatkan proses mental, pemikiran serta tingkah laku manusia yang menjadi teras kepada kekuatan diri individu dan masyarakat.

Sehubungan dengan itu, seramai 34 orang pegawai kerajaan dan swasta menyertai Kursus Asas Bimbingan dan Kaunseling bagi Pegawai-pegawai Kerajaan dan Swasta ke-20 yang berlangsung di Bilik Latihan, Unit Kaunseling dan Kerjaya, Blok 2J, Kondominium Ong Sum Ping, di sini, yang berlangsung selama lima hari, bermula hari ini.

Kursus sehingga 10 Oktober itu, dianjurkan oleh Unit Kaunseling dan Kerja, Bahagian Hal Ehwal pelajar, Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan untuk memberikan kefahaman mengenai pelbagai teori kaunseling serta kegunaannya.

Taklimat mengenai kursus itu disampaikan oleh Pegawai Pelajaran, Unit Kaunseling dan Kerjaya, Haji Saili bin Haji Chuchu.

Haji Saili menyampaikan taklimat mengenai Kursus Asas Bimbingan dan Kaunseling.
Haji Saili menyampaikan taklimat mengenai Kursus Asas Bimbingan dan Kaunseling.

Penubuhan Unit Bimbingan dan Kaunseling di jabatan-jabatan kerajaan dan swasta serta kehadiran kaunselor yang dilantik akan dapat membantu pihak pengurusan atau pentadbiran untuk mengurangkan isu-isu sosial dalam kalangan pekerja sama ada di peringkat atasan atau bawah.

Perkhidmatan bimbangan dan kaunseling yang mantap dan efektif dapat memainkan peranan penting dalam pembangunan sosial negara yang harmoni, proaktif dan produktif.

Kursus Bimbingan dan Kaunseling perlu diadakan bagi menghasilkan pegawai-pegawai yang dapat membantu menjalankan Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling di tempat kerja dengan tersusun, bersistematik dan berkesan.

Dengan adanya kursus itu, ia juga memenuhi keperluan pihak jabatan dan pekerja supaya perkhidmatan dan kemahiran pegawai yang dilantik dapat dimanfaatkan secara optimum untuk perkembangan dan pembangunan pekerja.

Sepanjang kursus itu, para peserta diberikan pendedahan kepada pelbagai kaedah kaunseling yang dilaksanakan termasuk kaunseling kelompok, kemahiran kaunseling individu, teknik-teknik kaunseling, proses kaunseling dan menyertai latihan dalam kelompok.

Pada penghujung kursus itu, peserta diharap akan dapat mengenal konsep dan cara mengendalikan kaunseling kelompok serta memahami betapa pentingnya mengurus dan melaksanakan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di tempat kerja.

ARTIKEL YANG SAMA