Sesi muzakarah banci penduduk

Sesi muzakarah banci penduduk

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 17 Ogos – Pegawai-pegawai banci yang dipertanggungjawabkan dalam mengemas kini banci penduduk dan perumahan 2016 adalah terdiri daripada mereka yang dilantik oleh Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE).

Menurut Pengarah Perangkaan JPKE, Hajah Mariah binti Haji Yahya, pegawai-pegawai banci yang dilantik oleh JPKE ini mempunyai jawatan untuk kerja-kerja luar yang dijalankan. Jawatan-jawatan bagi daerah, ia terdiri daripada penolong penguasa atau penyelaras yang lazimnya terdiri daripada pegawai-pegawai JPKE itu tersendiri.

Namun, pegawai-pegawai banci yang khusus KBPP 2016 bagi setiap daerah, JPKE telah pun melantik penemu duga dan penyelia yang dibukakan kepada orang luar terutama kepada mereka yang belum mempunyai pekerjaan iaitu yang terdiri daripada lepasan-lepasan sekolah yang merupakan graduan dan bekas pelajar-pelajar sekolah mengikut kelulusan.

Cadangan tersebut adalah untuk memberi peluang kepada mereka yang tidak mempunyai pekerjaan untuk memberi sedikit sebanyak pengalaman kepada penganggur di negara ini.

Hajah Mariah semasa menjawab sesi muzakarah tersebut.
Hajah Mariah semasa menjawab sesi muzakarah tersebut.

Perkara ini dijelaskan oleh Hajah Mariah semasa menjawab soalan salah seorang ketua kampung di Daerah Tutong semasa Sesi Muzakarah Bersama Penghulu dan Ketua Kampung Daerah Tutong mengenai Kemas Kini Banci Penduduk dan Perumahan (KBPP) 2016 yang diadakan di Dewan Rasmi Pegawai Daerah Tutong, Sungai Basong, Tutong, pagi tadi.

Salah seorang ketua kampung berkenaan turut mencadangkan bahawa pegawai-pegawai banci itu diharapkan merupakan salah seorang penduduk di kampung sendiri kerana pegawai tersebut dapat mengetahui selok-belok kampung berkenaan.

Dalam hal tersebut, Hajah Mariah juga mengongsikan isu-isu yang dibangkitkan semasa Muzakarah KBPP 2016 di Daerah Belait bahawa JPKE juga mengalami masalah kekurangan pegawai-pegawai banci khusus di Daerah Belait.

Oleh itu, bagi mengisi kekosongan tersebut, mereka telah pun memilih pegawai-pegawai banci yang tinggal di Daerah Tutong yang tidak jauh dengan kawasan di Daerah Belait.

Beliau juga menambah, kebanyakan pegawai-pegawai banci yang dipilih ini terdiri daripada mereka yang berdaftar ke Agensi Pekerjaan Tempatan dan Pembangunan Tenaga Kerja (APTK), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri mengikut kelulusan dan telah pun ditemu duga dan dipilih mengikut daerah masing-masing.

ARTIKEL YANG SAMA