Sesi muzakarah penyepaduan CDC

Sesi muzakarah penyepaduan CDC

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Mei – Dalam memastikan usaha penyepaduan Pusat Perkembangan Kanak-kanak (CDC) di Kiarong ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) berjalan lancar, satu sesi muzakarah di antara Kementerian Kesihatan dengan para ibu bapa dan penjaga kanak-kanak berkeperluan khas telah dikendalikan di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, di sini, kelmarin.

Sesi muzakarah dimulakan dengan penerangan oleh Pakar Pediatrik, Hospital RIPAS, Dr. Hajah Norehan binti Haji Johari yang merangkumi penukaran nama CDC kepada Perkhidmatan Perkembangan Pediatrik, jenis dan lokasi perkhidmatan yang disediakan di Hospital RIPAS, serta isu-isu lain yang berkaitan dengan penyepaduan tersebut.

Turut hadir semasa sesi muzakarah tersebut ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Zakaria bin Haji Serudin; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar), Dr. Hazri bin Haji Kifle; Ketua Operasi Perkhidmatan, Awang Mohammad Sabri bin Haji Anuar; Ketua Perkhidmatan Pediatrik, Hospital RIPAS, Dr. Hajah Rohayati binti Haji Mohd Taib dan para pegawai kanan di Kementerian Kesihatan.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan, tujuan sesi muzakarah tersebut diadakan untuk menerangkan perkembangan terkini usaha penyepaduan ini dan berkongsi apa jua buah fikiran serta cadangan lanjut para ibu bapa dan penjaga dalam memastikan nilai tambah dan hasil yang terbaik akan dapat diberikan oleh pihak kementerian.

Perkhidmatan Perkembangan Pediatrik akan memulakan perkhidmatan di Hospital RIPAS mulai 1 Jun 2016.

Pihak Kementerian Kesihatan, para ibu bapa dan penjaga kanak-kanak berkeperluan khas semasa sesi muzakarah di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin.
Pihak Kementerian Kesihatan, para ibu bapa dan penjaga kanak-kanak berkeperluan khas semasa sesi muzakarah di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin.

Beberapa perkhidmatan, bagaimanapun, telah bermula lebih awal pada 16 Mei 2016 iaitu Klinik Perkembangan Pediatrik, Perkhidmatan Pemulihan Cara Kerja, Perkhidmatan Fisioterapi, Perkhidmatan Dietetik, Perkhidmatan Perubatan Kebajikan, Perkhidmatan Psikologi Klinikal, Perkhidmatan Pediatrik, Perkhidmatan Prostetik & Ortotik serta Perkhidmatan Ortoptik dan Optometri.

Pihak kementerian menyatakan harapan agar penyepaduan perkhidmatan ini nanti akan memastikan kanak-kanak berkeperluan khas berserta keluarga mereka akan menerima hasil-hasil berimpak tinggi seperti berikut mengurangkan pembaziran (seperti masa menunggu); menambah keberkesanan dan kecekapan khidmat klinikal; dan memberikan nilai yang lebih baik kepada pesakit atau pelanggan.

Selain itu, mempertingkatkan sumber-sumber yang sedia ada termasuk tenaga kerja, dan menawarkan pusat sehenti, akan dapat menambah pengalaman dan perbaiki penglibatan pelanggan.

Penyepaduan Perkhidmatan CDC ke Hospital RIPAS juga selaras dengan strategik keutamaan Kementerian Kesihatan bagi tempoh lima tahun akan datang iaitu menerapkan bahawa kesihatan tanggungjawab semua, mencegah dan mengawal penyakit tidak berjangkit (NCDs), dan memberi perkhidmatan cemerlang melalui penyepaduan dan penjajaran perkhidmatan penjagaan kesihatan.

Menurut kenyataan itu lagi, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Kesihatan adalah komited sepenuhnya untuk terus mengukuhkan sistem kesihatan negara bagi pencapaian kesihatan, kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat yang lebih baik, terutamanya kesihatan kanak-kanak yang merupakan generasi masa depan kita dan aset utama negara.

Orang awam terutamanya ibu bapa dan penjaga bolehlah menghubungi Talian Darussalam 123 bagi memberikan sebarang maklum balas atau mendapatkan keterangan lanjut mengenai pemindahan ini.

ARTIKEL YANG SAMA