Sesi pembelajaran kelas Al-Quran, Muqaddam bermula

Sesi pembelajaran kelas Al-Quran, Muqaddam bermula

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Jan – Jabatan Hal Ehwal Masjid melalui Unit Bimbingan Kelas Al-Quran dan Muqaddam, hari ini, memulakan sesi pembelajaran kelas AI-Quran dan Muqaddam tahun 2016.

Kelas bimbingan ini diadakan setiap hari Jumaat bermula jam 8 pagi hingga 10 pagi dengan matlamat utama menjadikan kanak-kanak sentiasa fokus dalam bacaan, kefahaman dan penghayatan Al-Quran.

Sehubungan dengan ini, Masjid Paduka Seri Begawan Sultan Omar ‘Ali Saifuddien (MPSBSOAS), Kampung Katimahar telah menerima kemasukan pelajar-pelajar baru bagi sesi tahun 2016 di mana seramai 35 orang telah pun mendaftar untuk mengikuti kelas berkenaan setelah pendaftaran seramai 70 sebelum ini.

Sebagai usahanya yang berterusan, MPSBSOAS juga mengambil inisiatif menempatkan pelajar yang sudah mahir dalam bacaan AI-Quran dalam satu kelas khusus bagi memahirkan lagi bacaan masing-masing.

Atas kesedaran, sokongan dan kerja sama ibu bapa yang inginkan anak-anak mereka pandai dan lancar membaca Al-Quran, maka pihak masjid berusaha sedaya upaya agar kesemua pelajar berkenaan dapat membaca Al-Quran dengan baik selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan rakyat Brunei Darussalam celik Al-Quran.

Lapan orang guru agama terlatih termasuk pegawai-pegawai masjid menjadi tenaga pengajar bagi kelas berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA