Sesi rangkaian himpunkan alumni YSEALI

Sesi rangkaian himpunkan alumni YSEALI

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Julai – Kedutaan Amerika Syarikat di Negara Brunei Darussalam buat julung-julung kalinya telah mengadakan Sesi Rangkaian bersama Alumni Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI) yang berlangsung di Hotel Radisson, di ibu negara, pagi tadi.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Amerika Syarikat ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Craig Allen.

Lebih 40 alumni YSEALI menghadiri sesi itu di mana mereka berpeluang untuk bersua muka dan berkongsi maklumat serta pengalaman bersama Tuan Yang Terutama mengenai topik-topik menarik seperti pertukaran budaya, kesedaran alam sekitar, pembangunan akademik dan kerjaya, pendidikan, kepimpinan, keusahawanan dan banyak lagi.

Tuan Yang Terutama dalam ucapannya berkata, sejak YSEALI dilancarkan kira-kira dua tahun lalu, inisiatif ini telah membantu memperkasa belia-belia muda di rantau ASEAN dengan memberikan mereka kemahiran, sumber dan rangkaian dan cara-cara untuk membangun idea mereka menjadi kenyataan.

Selain itu juga, inisiatif ini menawarkan bengkel, rangkaian talian, peluang pertukaran, pembangunan profesional dan latihan amali.

TYT Craig Allen bergambar ramai bersama alumni YSEALI yang hadir pada sesi rangkaian yang berlangsung di Hotel Radisson, kelmarin.
TYT Craig Allen bergambar ramai bersama alumni YSEALI yang hadir pada sesi rangkaian yang berlangsung di Hotel Radisson, kelmarin.

“Hari ini, rangkaian YSEALI sudah mencecah hampir 35,000 belia muda dari semua negara di Asia Tenggara, termasuk Brunei. Saya sangat gembira untuk mendengar projek-projek dan pelan tindakan yang akan diadakan daripada ahli alumni YSEALI di negara ini,” ujarnya.

Beliau menyeru agar ahli-ahli alumni akan meneruskan semangat dan komitmen mereka kepada isu-isu seperti kesedaran alam sekitar, pembangunan akademik dan kerjaya, pendidikan, kepimpinan, keusahawanan dan lain-lain.

Semasa sesi rangkaian itu, tiga orang alumni turut mengongsikan pengalaman dan idea projek mereka, iaitu Awang Mohammad Khalid bin Mohamed Khairullah dari Institut Teknologi Brunei yang pernah menyertai persekutuan akademik di Amerika Syarikat, Dayang Lina Salwana binti Hussin dari Kementerian Pendidikan yang menyertai Bengkel Kepimpinan Wanita di Jakarta dan Dayang Amal Kasibah binti Bahari yang telah menyertai pelbagai bengkel YSEALI.

Dayang Amal Kasibah semasa ditemui menjelaskan beliau mula menyertai YSEALI seawal 2013, dan kini beliau memberikan tumpuan ke atas projek alam sekitar dan juga hak asasi manusia.

Menurutnya, aktiviti penyeludupan manusia ini boleh saja dilakukan dengan mudah melalui internet dan penggunaan laman sosial dan aplikasi telefon pintar seperti WhatsApp.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar para ibu bapa, guru-guru dan belia sendiri sedar akan bahayanya mempercayai maklumat-maklumat yang diberikan di Internet.

ARTIKEL YANG SAMA