Sesi World Café ke-2 IPA di Daerah Belait

Sesi World Café ke-2 IPA di Daerah Belait

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 26 Mei – Institut Perkhidmatan Awam (IPA) sekali lagi telah menganjurkan sesi World Cafe, dengan kali ini melibatkan penyertaan ketua-ketua jabatan, pegawai penyelaras latihan dan warga perkhidmatan awam, yang berlangsung di Dewan Persidangan Kuala Belair, hari ini.

Sesi perbincangan yang diadakan buat kali kedua ini dihadiri oleh lebih 200 orang yang turut disertai oleh wakil-wakil dari sektor bukan kerajaan.

Dalam acara berkenaan, sesi pemberigaan pertama telah disampaikan oleh Pengarah IPA, Hajah Norezan binti Haji Hambali, diikuti oleh pegawai-pegawai kanan IPA lainnya.

Antara yang difokuskan semasa sesi berkenaan adalah kepentingan peranan pegawai penyelaras sebagai Duta Sumber Tenaga Manusia dalam memperkenalkan dan menyelaras keperluan latihan untuk organisasi mereka.

Selain itu, kepentingan penglibatan ketua-ketua jabatan serta penyelaras-penyelaras latihan dalam mendokong keperluan perkembangan latihan rakan sekerja mereka turut ditekankan.

Antara peserta World Cafe IPA yang diadakan di Dewan Persidangan Kuala Belait, kelmarin.
Antara peserta World Cafe IPA yang diadakan di Dewan Persidangan Kuala Belait, kelmarin.

Pegawai Latihan selaku Pegawai Perhubungan IPA, Awang Aimi Akmal bin Haji Massod semasa ditemui berkata, tugas pegawai penyelaras di jabatan-jabatan kerajaan amat penting sebagai jambatan perantaraan semua kakitangan mereka.

“Jika pegawai penyelaras (TC) tidak aktif, usaha untuk mencari orang yang hendak dicalonkan dalam menyertai program-program latihan IPA agak lemah, IPA dalam usaha memasarkan program-program telah memuatkannya ke dalam website dan juga laman-laman sosial seperti Facebook dan Instagram, tetapi masih memerlukan TC yang aktif dalam sesebuah institusi jabatan itu,” katanya.

Semasa sesi itu dijalankan, peserta juga terlibat dalam aktiviti-aktiviti pembelajaran dan sesi interaksi di antara peserta dengan pegawai-pegawai latihan IPA bagi mendapatkan maklum balas untuk tujuan memantapkan lagi penyampaian perkhidmatan latihan IPA.

Sesi berkenaan berakhir dengan penyerahan simbolik Direktori Latihan kepada penyelaras-penyelaras latihan yang menyertai sesi World Cafe berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA