Setanding pembekal dunia

Setanding pembekal dunia

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Jan – Telekom Brunei Berhad (TelBru), selaku pembekal telekomunikasi utama di Brunei Darussalam, mengumumkan bahawa setakat penghujung Disember 2015, buat julung-julung kalinya ia menempatkan diri di pentas global dengan menetapkan IP Point-of-Presence (IP-POP) di Hong Kong dan Singapura dengan menyertai Equinix Internet Exchange™.

Menurut kenyataan yang dikeluarkannya, dengan menempatkan IP-POP barunya di dalam pusat-pusat data Equinix International Business Exchange™ (IBX®), TelBru akan sebanding dengan pembekal-pembekal rangkaian dan kandungan global utama yang lain dan mempunyai akses kepada pelbagai jenis aplikasi dan kandungan pihak ketiga.

Dengan penetapan itu dipancarkan pada penghujung Disember 2015 di kedua-dua lokasi berkenaan, TelBru kini dapat memilih perkhidmatan-perkhidmatan dan produk yang mendapat permintaan ramai di peringkat global untuk ditawarkan kepada para pelanggannya.

Pengaturan mutual-peering dengan beberapa pembekal antarabangsa di IP POP TelBru di Hong Kong dan Singapura ini akan meningkatkan pengalaman pelanggan dalam mengakses kandungan global berkenaan.

Ketua Rangkaian Teras TelBru, Pengiran Mohd Sazali bin Pengiran Razali bersama Pengurus Business Development Network and Interconnection Equinix semasa lawatan ke Hong Kong baru-baru ini.
Ketua Rangkaian Teras TelBru, Pengiran Mohd Sazali bin Pengiran Razali bersama Pengurus Business Development Network and Interconnection Equinix semasa lawatan ke Hong Kong baru-baru ini.

Dengan pertukaran menerusi EIE, TelBru dapat meningkatkan kecekapan rangkaian dengan menghapuskan lompatan rangkaian jadi para pelanggannya boleh menerima pengalaman Internet yang lebih baik dan prestasi lebih tinggi dengan mengurangkan kependaman dan kehilangan paket, yang merupakan objektif-objektif utama rekaan IP POP.

Dengan IP POP baru itu, TelBru akan dapat memberikan pilihan antarabangsa terbaik bagi Brunei Darussalam dengan sambungan langsung kepada lebih 500 pembekal kandungan dan lebih 1,100 rangkaian yang terletak di dalam pusat-pusat data Equinix’s IBX®.

Pengarah Pasaran Pembekal Cloud dan Perkhidmatan Equinix Asia Pacific, Eric Hui, dipetik sebagai berkata; “Sebagai pembekal perkhidmatan terbesar di Brunei bagi talian tetap, Internet, jalur lebar dan perkhidmatan-perkhidmatan telekomunikasi lain, kami gembira kerana TelBru telah memilih pusat-pusat data IBX kami di Hong Kong dan Singapura untuk mengukuhkan kedudukannya di rantau ini.

“Jangkauan global dan komuniti pertukaran ekstensif kami membolehkan TelBru untuk pantas mewujudkan perhubungan pertukaran dengan pembekal-pembekal perkhidmatan lain dan menghubungkan dengan lebih 6,300 pelanggan di seluruh dunia. Kami tidak sabar untuk menyokong TelBru dalam memenuhi permintaan pasaran pada masa ini bagi perkhidmatan-perkhidmatannya,” tambah beliau.

ARTIKEL YANG SAMA