Setem istimewa Hari Keputeraan

Setem istimewa Hari Keputeraan

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Julai – Penggemar setem kini berpeluang menambah koleksi mereka apabila Jabatan Perkhidmatan Pos mula mengeluarkan setem kenang-kenangan sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-70 tahun, hari ini.

Setem istimewa yang dijual dalam jumlah terhad itu memaparkan keberangkatan Baginda Sultan ke beberapa majlis dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini iaitu dari 15 Julai 2011 hingga 14 Julai 2016.

Selain setem kenang-kenangan Lembaran Mini Biasa dan Khas, Sampul Surat Rasmi Hari Pertama, Pek Kenangan dan Setem Booklet juga dikeluarkan.

Setem Serangkai yang hanya dicetak sebanyak 20,000 set sahaja akan dijual pada harga $3.50 satu set, Lembaran Mini Biasa yang dicetak sebanyak 4,000 keping akan dijual $3.50 sekeping, Lembaran Mini Khas dicetak sebanyak 2,000 keping dijual pada harga $70 sekeping, manakala itu, Sampul Surat Rasmi Hari Pertama Tanpa Setem yang dicetak sebanyak 2,500 keping dijual pada harga 45 sen sekeping.

Sampul Surat Rasmi Hari Pertama bersetem pula hanya akan dicetak sebanyak 2,500 keping dan dijual dengan harga $4.15 sekeping, pek kenangan yang mengandungi satu set setem dan sekeping FDC dicetak sebanyak 100 keping dan dijual dengan harga $10.75 sekeping, manakala itu, Setem Booklet dicetak sebanyak 200 keping akan dijual dengan harga $3.50 sekeping.

pg10_160716_c

Antara koleksi setem keluaran khas Hari Keputeraan Baginda Sultan tahun ini.
Antara koleksi setem keluaran khas Hari Keputeraan Baginda Sultan tahun ini.

Terdapat lima reka bentuk setem juga dijual iaitu setem pertama memaparkan potret Kebawah Duli Yang Maha Mulia semasa Acara Jubli Emas Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan berlatarbelakangkan Baginda berkenan memeriksa perbarisan pasukan ABDB pada 31 Mei 2011.

Setem ketiga pula memaparkan potret Baginda Sultan semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-23 di Negara Brunei Darussalam dari 9 hingga 10 Oktober 2013 dan berlatarbelakangkan Baginda berkenan bergambar ramai bersama para pemimpin yang menghadiri sidang kemuncak berkenaan.

Manakala itu, setem keempat memaparkan Baginda Sultan semasa berkenan berangkat menghadiri Majlis Tamat Latihan Program Khidmat Bakti Negara Pengambilan Pertama dan berlatarbelakangkan gambar ramai para pelatih dalam perbarisan pada 2 Disember 2013.

Setem kelima memaparkan keberangkatan Baginda semasa Majlis Pelancaran Mushaf UNISSA dan Majlis Perasmian Mahrajan Hafl Al-Takharruj Pertama UNISSA dan berlatarbelakangkan Baginda memulakan Penulisan Mushaf UNISSA dengan tulisan tangan pada 24 Oktober 2011.

Lembaran Mini Biasa pula memaparkan lima reka bentuk setem potret wajah Baginda dengan berlatarbelakangkan mercu tanda Negara Brunei Darussalam dan Lembaran Mini Khas memaparkan potret Baginda Sultan semasa Upacara Perarakan Kedaulatan (Sovereign’s Parade) Kursus Pentauliahan 102, Akademi Tentera Diraja Sandhurst di United Kingdom sebagai wakil peribadi kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Queen Elizabeth II.

Setem keluaran khas ini dijual di semua cawangan pejabat pos dan kaunter galeri di seluruh negara bermula dari jam 8 pagi hingga 11 pagi dan pada sebelah petang dari jam 2 petang hingga 4 petang.

ARTIKEL YANG SAMA