Setem kenangan Jubli Emas TLDB

Setem kenangan Jubli Emas TLDB

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Okt – Sempena Jubli Emas Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), yang jatuh pada 14 Jun 2015, Jabatan Perkhidmatan Pos akan mengeluarkan setem kenang-kenangan yang akan dijual pada 30 Oktober ini dari 8:00 pagi hingga 11:00 pagi dan 2:00 petang hingga 4:00 petang.

Setem-setem berkenaan akan dijual di Pejabat-pejabat Pos Lapangan Terbang Lama, Bandar Seri Begawan, Seri Kompleks, Kiulap, Sengkurong, Muara, Lapangan Terbang Antarabangsa, Tutong, Seria dan Kuala Belait.

Jabatan berkenaan dalam kenyataannya menjelaskan, terdapat tiga reka bentuk setem berharga 50 sen (bagi tiga setem) dikeluarkan dengan salah satunya memaparkan gambar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dengan berpakaian Service Dress semasa pentauliahan Kapal Darussalam TLDB. Satu lagi memaparkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dengan berpakaian Bush Jacket dan acara menaikkan bendera besar Negara Brunei Darussalam oleh anggota TLDB, manakala itu reka bentuk ketiga pula menunjukkan gambar Baginda Sultan dengan berpakaian Seagoing dan tiga generasi kapal TLDB iaitu Kapal Pahlawan, Kapal Waspada dan Kapal Darussalam.

Pihak jabatan juga memberitahu bahawa beberapa set produk disediakan bagi keluaran setem berkenaan iaitu, tiga jenis setem berharga 50 sen setiap satu berkenaan dijual pada harga $1.50 setiap set, Sampul Surat Rasmi Hari Pertama berserta setem berharga $2.15 sekeping, pek kenangan (mengandungi 1 keping sampul surat dan satu set setem) berharga $5.50 setiap set dan buku kecil setem dijual $1.50 setiap set.

Untuk keterangan lanjut atau membuat tempatan awal, orang ramai boleh menghubungi Kaunter Galeri, Unit Filatelik, Pejabat Besar Pos, Bandar Seri Begawan atau melalui talian 2222191 atau faks di talian 2222784 dan e-mel ke alamat brustamp@post.gov.bn.