Setengah tan gading gajah dirampas di Singapura

Setengah tan gading gajah dirampas di Singapura

SINGAPURA, 17 Dis – Pihak berkuasa Singapura merampas setengah tan gading gajah dalam salah satu rampasan terbesar yang dibuat di negara itu dalam tempoh lebih sedekad.

Gading terbabit, seberat 505 kilogram, ditemui bersama dengan 324 kilogram kulit tenggiling ketika dalam penghantaran melalui udara ke Laos pada 12 Disember lepas, menurut kenyataan bersama Jabatan Kastam dan agensi pertanian dan veterinar Singapura hari ini.

Kotak-kotak tersebut menggunakan label kononnya berisi rambut palsu sintetik dan datang dari Nigeria, kata pihak berkuasa, sambil menambah bahawa penghantaran tersebut dianggarkan bernilai S$1.3 juta (AS$920,000).

Perdagangan gading gajah dan tenggiling adalah diharamkan di bawah Konvensyen Dagangan Antarabangsa bagi Spesies Terancam Flora dan Fauna Liar (CITES), tetapi permintaan masih kekal kukuh di sebahagian Asia, di mana produk haiwan terbabit dikatakan mempunyai nilai-nilai perubatan untuk penyakit tertentu. – Reuters

ARTIKEL YANG SAMA