Setia Perdana beraksi cemerlang

Setia Perdana beraksi cemerlang

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Mac – Setia Perdana bermula cemerlang dalam perlawanan pertamanya bagi kempen Liga Perdana Brunei DST 2016 apabila menewaskan pasukan di tempat keempat musim lalu, Panchor Murai FC dengan jaringan 3-0.

Pada perlawanan di Padang dan Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) berkenaan, pasukan di kedudukan kelima Liga Perdana musim lalu itu sudah selesai mendahului 2-0 pada separuh masa pertama.

Awang Aimmil Rahman bin Ramlee menjadi penjaring pertama Liga Perdana Brunei DST 2016 menerusi jaringannya pada minit ke-23 untuk Setia

Perdana mendahului 1-0, sebelum rakannya Awang Mohd Nazhim bin Haji Suhaili menjadikan kedudukan 2-0 sepuluh minit kemudian.

Separuh masa kedua bagi perlawanan pertama liga berkenaan hanya menyaksikan satu gol dijaringkan tetapi masih lagi menjadi milik Setia Perdana, yang hadir pada minit ke-59 hasil sumbangan Awang Faisal bin Ali.

Awang Faisal (tiga kanan) dan Awang Mohd Nazhim (dua kanan) masing-masing menjaringkan satu gol dalam kemenangan 3-0 Setia Perdana (kuning) ke atas Panchor Murai FC (hitam).
Awang Faisal (tiga kanan) dan Awang Mohd Nazhim (dua kanan) masing-masing menjaringkan satu gol dalam kemenangan 3-0 Setia Perdana (kuning) ke atas Panchor Murai FC (hitam).

Kedudukan 3-0 kekal sehingga pengadil meniupkan wisel penamat, sekali gus memberikan tiga mata pertama kepada Setia Perdana, untuknya kini berada di puncak liga dengan tiga mata, tatkala perlawanan lain belum lagi dimainkan.

Perlawanan kedua Liga Perdana dijadualkan berlangsung esok, Sabtu, 12 Mac di Kompleks Sukan Tutong antara BSRC FT dengan BESA FC, bermula pukul 8:15 malam.

Bagi musim ini, hanya 10 buah pasukan bersaing dalam Liga Perdana berbanding 11 buah pasukan musim lalu.

Pasukan-pasukan itu ialah BSRC FT, BESA FC, IKLS FC, Kilanas FC, Menglait FC, Panchor Murai FC, Rimba Star FC, Setia Perdana, Tabuan U-17 dan pasukan yang baru saja menjuarai Liga Bolasepak Daerah Brunei dan Muara 2015, Al-Idrus Junior FT.