Setia Perdana mara ke pusingan ketiga

Setia Perdana mara ke pusingan ketiga

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Okt – Kelab Liga Perdana DST 2015, Setia Perdana menjadi pasukan kedua layak ke Pusingan Ketiga Piala FA DST 2015 selepas kejayaan menundukkan Kelab Non Liga, Pandan ‘14’ malam tadi dengan jaringan 3-0.

Haji Rahimni bin Haji Pundut menyumbangkan dua gol bagi membantu pasukannya mengelak daripada mengalami nasib serupa kelab seliganya dalam Liga Perdana DST 2015 iaitu Panchor Murai FC yang tewas 2-7 kepada Kelab Non Liga, Hawa FT pada 6 Oktober lalu.

Membuka jaringan buat Setia Perdana pada perlawanan di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu ialah Mohd Faisal bin Ali, menerusi rembatannya pada minit ke-30.

Haji Rahimni menghasilkan gol pertamanya menerusi sepakan penalti pada minit ke-40, selepas pemain Pandan ‘14’ melakukan kekasaran di dalam petak sendiri, sekali gus membawa pasukannya menerajui 2-0 sehingga rehat.

Separuh masa kedua agak lewat dimulakan berikutan hujan turun diiringi dengan pancaran kilat sehingga menyebabkan pihak pengadil menangguhkan perlawanan demi keselamatan semua.

Haji Rahimni meledakkan gol dengan kaki kiri pada minit ke-76 bagi membantu pasukannya, Setia Perdana (biru) menang 3-0 ke atas Pandan ‘14’ untuk mara ke pusingan ketiga Piala FA DST 2015.
Haji Rahimni meledakkan gol dengan kaki kiri pada minit ke-76 bagi membantu pasukannya, Setia Perdana (biru) menang 3-0 ke atas Pandan ‘14’ untuk mara ke pusingan ketiga Piala FA DST 2015.

Walaupun perlawanan disambung semula dalam keadaan cuaca hujan, permainan tetap berlangsung menarik dengan kedua-dua pasukan berbalas-balas serangan, namun tiada jaringan berjaya dihasilkan.

Namun dalam keadaan tidak terduga pada minit ke-76, Haji Rahimni yang membelakangi gawang lawan pada kedudukan di luar petak sebelah kiri lawan, berputar ke kirinya dan terus menendang kencang bola menggunakan kaki kirinya yang melayang laju melepasi jangkauan penjaga gol Pandan ‘14’ dan menggegar gawang kanan lawan di sebelah atas.

Jaringan cantik itu menjadi jaringan terakhir perlawanan di sebalik beberapa percubaan kedua-dua pasukan dalam tempoh baki empat belas minit perlawanan untuk memberikan Setia Perdana kemenangan 3-0 dan tiket ke Pusingan Ketiga Piala FA DST 2015.

Setia Perdana akan meneruskan kempennya pada hari Rabu, 18 November nanti menentang salah sebuah Kelab Liga Super DST 2015 (tertakluk undian) di Kompleks Sukan Tutong, bermula pukul 8:15 malam.

ARTIKEL YANG SAMA