Setia Perdana menang 4-2 ke atas Kasuka FC

Setia Perdana menang 4-2 ke atas Kasuka FC

Oleh Hasrulraizan

 

TUTONG, 2 Jun – Tiga jaringan Haji Rahimni bin Haji Pundut dalam tempoh tiga minit pada sebelas minit terakhir perlawanan ketika ketinggalan 1-2 menghadiahkan kemenangan 4-2 Setia Perdana ke atas Kasuka FC, sekaligus tiga mata sangat bernilai.

Kemenangan melonjakkan Setia Perdana ke tangga kelima dari tangga kelapan dengan 11 mata, hanya satu mata di belakang Panchor Murai FC yang memiliki satu perlawanan dalam tangan berbanding Setia Perdana.

Muhammad Hafis bin Mahari memacu Kasuka FC ke depan seawal minit ke-7 namun Haji Rahimni bin Haji Pundut menyamakan kedudukan buat Setia Perdana pada minit ke-31, dengan kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat babak pertama.

Separuh masa kedua perlawanan di Kompleks Sukan Tutong itu hanya menyaksikan jaringan selepas 31 minit, hasil jaringan Mohd Abu Bakar bin Mahari untuk Kasuka FC mendahului 2-1.

Tiga minit kemudian sesuatu yang tidak dijangka berlaku apabila Haji Rahimni menghasilkan jaringan demi jaringan berturut-turut pada minit ke-79, 80 (sepakan penalti) dan 81 untuk membawa Setia Perdana mendahului perlawanan dengan kelebihan dua gol.

Setia Perdana mengejutkan Kasuka FC dengan tiga gol lewat untuk mencatat kemenangan 4-2.
Setia Perdana mengejutkan Kasuka FC dengan tiga gol lewat untuk mencatat kemenangan 4-2.

Kasuka FC yang tersentak dengan tiga jaringan pantas itu tidak mampu pulih walaupun masih memiliki sembilan minit masa sebenar untuk mendapatkan jaringan sekurang-kurangnya penyamaan dan hasilnya kedudukan 4-2 bertahan sehingga ke wisel penamat perlawanan.

Kasuka FC yang mengalami kekalahan keduanya dari sembilan perlawanan itu kekal di tempat kedua Liga Perdana DST 2015 dengan 19 mata, tetap dua mata di belakang pendahulu liga, Tabuan U18, yang sepatutnya mampu dipintasnya jika menang ke atas Setia Perdana.

Kota Ranger FC yang baru bermain enam kali dan memenangi keenam-enamnya kekal di tangga ketiga dengan 18 mata, enam mata di depan Panchor Murai FC yang sudah bermain lapan kali di tangga keempat dan tujuh mata di depan Setia Perdana yang sudah melalui sembilan perlawanan.

ARTIKEL YANG SAMA