Setiausaha Agung AFC letak jawatan

Setiausaha Agung AFC letak jawatan

KUALA LUMPUR, 17 Jun (Reuters) – Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Alex Soosay yang sedang menjalani penggantungan atas tuduhan skandal rasuah meletak jawatan hari ini, berbanding berusaha membersihkan namanya.

Soosay digantung oleh AFC bulan lalu selepas media Malaysia melaporkan seorang pegawai daripada badan induk yang mempunyai 46 ahli gabungan itu diminta Soosay untuk ‘mengganggu atau menyembunyikan’ dokumen tertentu ketika audit luar pada 2012.

Audit yang dilakukan agensi PricewaterhouseCoopers itu dilakukan selepas penggantungan seumur hidup bekas presiden AFC, Mohamed Hammam oleh Kesatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kerana melanggar kod etika. Soosay sebelum ini bekerja rapat dengan Hammam.

“Konfederasi Bola Sepak Asia ingin mengucapkan terima kasih kepada Datuk Alex Soosay kerana komitmennya terhadap bola sepak Asia sepanjang kariernya selama 20 tahun di AFC dan mengucapkan yang terbaik buatnya pada masa depan,” kata AFC dalam kenyataan.

Datuk Alex Soosay melatak jawatan sebagai Setiausaha Agung AFC hari ini. – Reuters
Datuk Alex Soosay melatak jawatan sebagai Setiausaha Agung AFC hari ini. – Reuters

AFC berkata, hasil siasatan terhadap Soosay akan didedahkan kepada umum. Badan induk itu juga menegaskan audit yang dilakukan pada 2012 juga tidak akan didedahkan kepada umum.

Mengikut AFC, Timbalan Setiausaha Agung, Windsor John akan mengambil alih tugas ditinggalkan Soosay hingga Setiausaha Agung badan induk itu dilantik.

Soosay yang juga bekas pemain kebangsaan Malaysia dilantik Setiausaha Agung AFC sejak 2008 selepas persaraan rakan senegaranya, Datuk Peter Velappan.

Soosay dikatakan rapat dengan Hammam namun kedudukannya nampak cukup rapuh apabila Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa yang menjadi pengkritik utama bekas presiden itu dilantik Presiden AFC pada 2013.

ARTIKEL YANG SAMA