Setiausaha Agung FIFA dipecat

Setiausaha Agung FIFA dipecat

ZURICH, 13 Jan (Reuters) – FIFA hari ini menyatakan bahawa mereka telah memecat Setiausaha Agung mereka, Jerome Valcke, yang sebelum ini menjadi antara individu paling berkuasa dalam dunia bola sepak selepas didakwa terbabit dalam rasuah penjualan tiket Piala Dunia.

“Jawatankuasa Kecemasan FIFA membuat keputusan pada 9 Januari, untuk memecat Jerome Valcke daripada jawatan Setiausaha Agung FIFA serta merta,” kata badan induk berpangkalan di Zurich itu dalam kenyataannya.

Penyiasatan etika terhadap kes tersebut menyarankan penggantungan sembilan tahun bagi warga Perancis itu, bekas orang kanan kepada Presiden FIFA Sepp Blatter yang juga digantung selama lapan tahun.

Minggu lepas hakim-hakim etika FIFA mengumumkan mereka telah membukakan prosiding rasmi terhadap Valcke, yang menafikan sebarang salah laku pada masa lalu.

Valcke diarahkan untuk bercuti oleh FIFA pada September tahun lepas berikutan tuduhan-tuduhan dan kemudian digantung selama 90 hari pada Oktober apabila jawatankuasa etika memulakan penyiasatannya. Penggantungan itu kemudian dilanjutkan lagi selama 45 hari minggu lepas dan pengharaman dari mana-mana aktiviti bola sepak kekal berkuat kuasa.

FIFA membuat keputusan untuk memecat Jerome Valcke yang didakwa terbabit dalam rasuah. – Reuters
FIFA membuat keputusan untuk memecat Jerome Valcke yang didakwa terbabit dalam rasuah. – Reuters

Tugas setiausaha agung akan diteruskan dan dijalankan oleh Pemangku Setiausaha Agung Markus Kattner, menurut FIFA.

Valcke sekarang telah dipecat dua kali oleh FIFA. Dia menyertai pertubuhan itu pada 2003 sebagai pengarah pemasaran namun dipecat pada Disember 2006 atas penglibatan dengan rundingan-rundingan penajaan dengan firma-firma kad kredit MasterCard Inc dan Visa Inc.

Kesnya telah diselubungi oleh kegawatan yang telah membelenggu FIFA tahun lepas, dengan siasatan-siasatan jenayah terhadap sukan itu di Amerika Syarikat dan Switzerland.

Secara keseluruhannya, 41 orang dan entiti-entiti sukan, termasuk pegawai-pegawai tertinggi FIFA telah didakwa oleh pendakwa-pendakwa raya AS atas kesalahan-kesalahan termasuk korupsi, penipuan dan wang haram.

ARTIKEL YANG SAMA