Setiausaha luar Britain beri amaran ancaman kebebasan HK

Setiausaha luar Britain beri amaran ancaman kebebasan HK

HONG KONG, 8 April (AFP) – Setiausaha luar negara Britain Philip Hammond mengingatkan mengenai ancaman terhadap autonomi Hong Kong pada hari ini ketika beliau melawat bandar tersebut di mana kebimbangan semakin meningkat mengenai kawalan Beijing yang ketat.

Ia adalah lawatan pertama oleh setiausaha luar negara Britain selama lima tahun dan diadakan ekoran kes profil tinggi sekumpulan penjual buku yang hilang dari Hong Kong dan muncul di China. Salah seorang di antara mereka adalah warga Britain.

Bandar itu telah menjadi separa-autonomi sejak ia diserah kepada China oleh Britain pada 1997 di bawah satu perjanjian yang melindungi kebebasannya selama 50 tahun. Bagaimanapun, timbulnya kebimbangan bahawa kebebasan berkenaan semakin lenyap.

“Walaupun model ‘Satu Negara, Dua Sistem’ pada umumnya berjalan lancar di Hong Kong, kebimbangan telah meningkat mengenai kes penjual buku baru-baru ini,” kata Hammond dalam satu kenyataan hari ini.

“Kedaulatan undang-undang merupakan teras masyarakat terbuka dan adil. Kejayaan Hong Kong diperkuatkan oleh badan kehakimannya yang bebas dan penghormatan kepada hak dan kebebasan,” tambah beliau.

Dalam satu mesyuarat dengan pemimpin Hong Kong Leung Chun-ying, Pejabat Luar Negara dan Komanwel Britain (FCO) berkata Hammond akan menyatakan semula “sokongan terhadap autonomi, hak dan kebebasan yang tinggi di Hong Kong,” serta komitmen kepada deklarasi bersama Sino-Britain yang melindungi kebebasan Hong Kong.

Lima orang penjual buku bekerja untuk firma penerbitan Hong Kong yang terkenal dengan judul lucah mengenai ahli politik tertinggi China. Mereka hilang pada akhir tahun lalu.

Empat orang ditempatkan dalam siasatan jenayah di China, yang kelima, warga Britain Lee Bo, berkata beliau sedang “membantu” dalam siasatan dan telah kembali melawat Hong Kong baru-baru ini, menegaskan beliau adalah bebas.

ARTIKEL YANG SAMA