Setiausaha Rendah British lawat Brunei

Setiausaha Rendah British lawat Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Feb – Setiausaha Tetap Rendah di Pejabat Luar Negara dan Komanwel (FCO) dan Ketua Perkhidmatan Diplomatik British, Sir Simon McDonald telah mengadakan lawatan kerja selama dua hari ke Brunei, perhentian pertamanya dalam jelajah Asia Tenggara.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, pada satu pertemuan dengan pegawai-pegawai kanan di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, beliau telah membincangkan isu-isu dua hala, antarabangsa dan serantau.

Beliau juga telah bertemu dengan Timbalan Menteri Kewangan, Dato Paduka Dr. Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah untuk membincangkan pempelbagaian ekonomi dan isu-isu perdagangan dan pelaburan bagi syarikat-syarikat British.

Syarikat-syarikat British dan komuniti perniagaan Brunei turut memaklumkan beliau mengenai pembangunan ekonomi semasa dan peluang-peluang perdagangan yang berpotensi. Mereka juga mengalu-alukan pelantikan Mark Garnier MP sebagai Wakil Perdagangan United Kingdom (UK) baru ke Brunei.

Di samping itu, Sir Simon juga terlibat dalam perbincangan hangat dengan pemimpin-pemimpin masa depan Brunei dari seluruh sektor, yang termasuk bekas pelajar Chevening yang pernah melanjutkan pengajian di UK di bawah program biasiswa kemegahan kerajaan British.

Makan malam bersama pemimpin masa depan dari pelbagai sektor termasuk penerima Biasiswa Chevening.
Makan malam bersama pemimpin masa depan dari pelbagai sektor termasuk penerima Biasiswa Chevening.

Dalam program lawatannya yang padat itu, Sir Simon juga telah pergi ke Seria untuk bertemu Angkatan British Brunei, di mana beliau mendengar taklimat daripada komander, bertemu kakitangan Garisson dan menyaksikan sendiri keupayaan mereka, termasuk melaksanakan bantuan kemanusiaan dan bantuan bencana di rantau ini.

Sebelum meninggalkan Brunei, beliau berkata, UK dan Brunei mempunyai hubungan persahabatan yang berpanjangan.

“Saya melihat sendiri sejauh mana penglibatan kita dalam perniagaan, tenaga, pertahanan dan pendidikan.

“Saya yakin terdapat peluang-peluang baru untuk dicapai apabila kedua-dua ekonomi kita terus berkembang,” ujarnya.

ARTIKEL YANG SAMA