Setuju perangi dadah bersama

Setuju perangi dadah bersama

NEW DELHI, 17 Jun (AP) – Perdana menteri India dan Thailand bersetuju hari ini untuk meningkatkan kerjasama antara kedua-dua buah negara itu dalam menangani pengganasan, ancaman kepada keselamatan siber, narkotik, kesalahan-kesalahan ekonomi transnasional dan pemerdagangan manusia.

“Kami masing-masing menyedari bahawa penularan pantas pengganasan dan ideologi radikal menimbulkan cabaran sama kepada kedua-dua masyarakat kita,” kata Perdana Menteri India, Narendra Modi memberitahu sidang media bersama.

“Kami juga mengakui bahawa kerjasama rapat keselamatan akan membantu kami untuk menjamin kesejahteraan rakyat kami daripada ancaman-ancaman sebegini.”

Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan-O-Cha bertemu dengan Modi di New Delhi hari ini dan merancang untuk melawat pusat Buddha, Bodh Gaya pada Sabtu sebelum kembali pulang. Bodh Gaya adalah tempat penganut Buddha dipercayai mendapat kesedaran.

Prayut Chan-O-Cha (kiri) melihat Narendra Modi bercakap selepas mesyuarat di New Delhi pada 17 Jun. – AFP
Prayut Chan-O-Cha (kiri) melihat Narendra Modi bercakap selepas mesyuarat di New Delhi pada 17 Jun. – AFP

Modi berkata teknologi maklumat, farmaseutikal, alat ganti dan jentera adalah beberapa bidang yang dipersetujui bagi kolaborasi ekonomi antara kedua-dua negara, yang perdagangannya pada 15 tahun yang lalu telah meningkat lapan kali ganda kepada kira-kira AS$7.9 bilion.

Forum Perniagaan India-Thailand yang baru dibentuk telah mengadakan mesyuarat pertamanya hari ini dan mengusulkan cadangan bagi pengembangan peluang perniagaan dan pelaburan antara kedua-dua buah negara.

India mengalu-alukan pelaburan Thailand dalam sektor pengilangan dan pembangunan infrastruktur, pelancongan dan kemudahan hospitaliti, terutamanya di tapak-tapak berkaitan Buddha, menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan pada penghujung rundingan antara kedua-dua buah negara.

ARTIKEL YANG SAMA