Setuju timbang bina landasan

Setuju timbang bina landasan

BEIJING, 21 Mac (Reuters) – China bersetuju hari ini untuk menimbang membina landasan kereta api ke Nepal dan memulakan kajian kebolehlaksanaan untuk perjanjian perdagangan bebas dengan negara miskin itu, yang telah berusaha untuk mengurangkan kebergantungannya pada jiran besar ke selatan, India.

Negara Himalaya, yang berfungsi sebagai penampan semula jadi di antara China dan India, melaksana perlembagaan pertamanya pada September dengan harapan ia akan membawa kepada keamanan dan kestabilan selepas konflik bertahun-tahun lamanya.

Namun pembantah menyekat trak yang datang dari India, membawa kepada kekurangan minyak dan ubat. Nepal menyalahkan New Delhi kerana memihak kepada pembantah, satu dakwaan yang dinafikan oleh India.

Sekatan sempadan berakhir pada bulan lalu tetapi bekalan minyak dan gas memasak masih belum pulih kepada keadaan biasa.

Bertemu di Dewan Besar Rakyat di Beijing, Perdana Menteri Nepal K.P. Oli memberitahu Perdana Menteri China Li Keqiang beliau telah “datang ke China dengan misi khas” apabila ia membabitkan pengukuhan hubungan. Beliau tidak mengulas lanjut di depan wartawan.

Presiden Xi Jinping (kanan) berjabat tangan dengan Khadga Prasad Sharma Oli (kiri) di dalam dewan Great Hall of the People di Beijing, China pada 21 Mac. – Reuters
Presiden Xi Jinping (kanan) berjabat tangan dengan Khadga Prasad Sharma Oli (kiri) di dalam dewan Great Hall of the People di Beijing, China pada 21 Mac. – Reuters

Hou Yanqi, penolong ketua Kementerian Luar China Divisyen Asia, berkata Oli mengemukakan kemungkinan dua perkhidmatan kereta api, satu menghubungkan tiga daripada bandar paling penting Nepal dan dua yang lain menyeberangi sempadan dari China ke Nepal.

Hou berkata kerajaan akan menggalak firma China supaya menimbang pelan kereta api dalaman, dan China telah pun merancang untuk melanjutkan landasan kereta api dari bandar Tibet Shigatse ke Gyirong di sempadan Nepal.

“Sudah tentunya, pelanjutan dari Gyirong adalah pelan jangka panjang. Ia bergantung pada keadaan geografi dan teknikal, keupayaan kewangan. Kami percaya pada masa depan kedua-dua negara akan dihubungkan dengan kereta api,” kata beliau.

Kedua-dua negara menandatangani 10 perjanjian, termasuk pelan kebolehlaksanaan untuk perjanjian perdagangan bebas, serta pinjaman untuk lapangan terbang baru di Pokhara di Nepal dan kajian kebolehlaksanaan untuk projek tinjauan minyak dan gas.

ARTIKEL YANG SAMA