Setuju tubuh Majlis Negara-negara Pengeluar Minyak Sawit

Setuju tubuh Majlis Negara-negara Pengeluar Minyak Sawit

JAKARTA, 4 Okt (Bernama) – Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk menerajui penubuhan Majlis Negara-negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) yang bertujuan memastikan kestabilan harga dan membangunkan industri hiliran komoditi itu.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata kedua-dua negara itu menyumbang 85 peratus kepada pasaran minyak sawit dunia.

“CPOPC juga akan mempromosikan bersama manfaat industri dan derivatif sawit,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Dua Hala Malaysia-Indonesia mengenai Industri Minyak Sawit, di sini, semalam.

Uggah berkata, dalam mesyuarat dua hala itu, Indonesia dan Malaysia juga bersetuju untuk menyelaraskan standard Minyak Sawit Lestari Indonesia (ISPO) dan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO).

“Selain penyelarasan, kami akan turut menyertakan perbahasan bagi pembangunan sosioekonomi pekebun kecil,” katanya.

CPOPC juga akan menggalakkan amalan lestari mesra alam dalam industri minyak sawit dan meningkatkan kerjasama penyelidikan dan pembangunan industri sawit bagi memanfaatkan potensi dalam seluruh rantaian nilai.

Uggah berkata kerajaan kedua-dua negara akan memudahcarakan inisiatif sektor awam dalam menerajui Zon Ekonomi Hijau di Indonesia dan menggalakkan tokokan nilai industri minyak sawit.

Sementara itu, Menteri Penyelarasan Hal Ehwal Maritim dan Sumber Indonesia Rizal Ramli berkata Indonesia dan Malaysia akan mempelawa negara pengeluar minyak sawit lain untuk menyertai CPOC.

Beliau berkata Majlis itu dijangka dirasmikan pada akhir bulan ini apabila Presiden Indonesia Joko Widodo bertemu Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak.

ARTIKEL YANG SAMA