Sevilla berang Juventus bangkit

Sevilla berang Juventus bangkit

SEVILLE, Sepanyol, 23 Nov – Sevilla berang dengan pengadil England Mark Clattenburg ketika Juventus bangkit untuk menang 3-1 di Sepanyol dan menempah tempat dalam pusingan 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara semalam.

Pasukan tuan rumah bermula dengan baik menerusi jaringan pembukaan minit kesembilan Nico Pareja, tetapi beraksi dengan 10 pemain selepas 36 minit apabila Franco Vazquez dilayangkan kad kuning kedua oleh Clattenburg.

Sepakan penalti kontroversi Juventus disempurnakan oleh Claudio Marchisio menyusul dan jurulatih Sevilla Jorbge Sampaoli juga diarahkan untuk berada di tempat duduk penonton sebelum dua gol dalam tempoh enam minit terakhir Leonardo Bonucci dan Mario Mandzukic memastikan kemaraan juara Itali itu.

Sebaliknya, kekalahan pertama Sevilla dalam Kumpulan H bermakna mereka perlu menghindari kekalahan dengan margin dua gol di gelanggang luar menentang Lyon dalam tempoh dua minggu untuk memastikan tempat dalam 16 pasukan terakhir.

“Apabila mereka hanya beraksi dengan 10 pemain, mereka menutup semua ruang dan kami melakukan beberapa kesilapan. Kami bernasib baik, rembatan kaki kiri saya menjadi penyelamat,” Bonucci memberitahu UEFA.com.

Pemain Argentina Sevilla Gabriel Mercado (kiri) cuba mengatasi pemain Brazil Juventus Alex Sandro Lobo Silva dalam aksi Eropah di stadium Sanchez Pizjuan di Sevilla, kelmarin. – AFP
Pemain Argentina Sevilla Gabriel Mercado (kiri) cuba mengatasi pemain Brazil Juventus Alex Sandro Lobo Silva dalam aksi Eropah di stadium Sanchez Pizjuan di Sevilla, kelmarin. – AFP

“Kami boleh meraikan kerana kami mencapai objektif pertama kami, tetapi sekarang kami mempunyai persaingan lain.”

Bagaimanapun, pemain sayap Sevilla, Vitolo, mendakwa Clattenburg adalah orang yang telah menukar perlawanan.

“Hari ini dua keputusan pengadil perlawanan menjejaskan kami,” pemain antarabangsa Sepanyol itu memberitahu BeIN Sports Sepanyol.

“Pada kedudukan 1-0, kami beraksi dengan baik, mengawal permainan dan menguasai permainan. Kami tidak menghadapi sebarang masalah.

“Tiba-tiba kami beraksi kurang seorang pemain dan dia memberikan sepakan penalti di mana bagi saya adalah tidak seharusnya diberikan.”

Juventus berkunjung ke Sepanyol dengan ketiadaan beberapa pemain utama termasuk dua penyerang Gonzalo Higuain dan Paulo Dybala, dan mungkin permulaan hambar yang pernah mereka harungi. – AFP