Sevilla buru kejuaraan keempat

Sevilla buru kejuaraan keempat

WARSAW, 27 Mei (AFP) – Sevilla boleh muncul pasukan pertama memenangi empat kejuaraan Liga Europa atau Piala UEFA apabila penyandang juara itu berdepan Dnipro Dnipropetrovsk yang tampil kali pertama pada final pertandingan Eropah, awal pagi esok.

Lebih bermakna, kemenangan akan membantu mereka layak ke Liga Juara-Juara musim depan sesudah tersingkir dengan hanya satu mata kepada Valencia dalam perebutan tangga keempat La Liga Sepanyol.

“Pasukan ini meningkat dan meraih banyak pengalaman dalam Liga Europa,” kata bos Sevilla, Unai Emery.

“Ia amat bermakna. Pasukan ini mahukan penyokong berasakan kesan daripada pertandingan ini terhadap kami. Kami meraih sesuatu yang menjadikan kami lebih besar, berprestij, meraih tempat dalam sejarah dan penghormatan di pentas Eropah kerana kerja keras kami.

“Kami tidak boleh menafikan berpeluang melakar sejarah. Sudah tentu kami bersyukur kerana mendapat peluang ini.

Europa League

“Kami menyasarkan untuk meraih sesuatu dengan pasukan ini, Sevilla. Ia tidak seharusnya menjadi tekanan yang menyekat kami daripada melakukan perancangan menentang Dnipro. Ia lebih kepada motivasi, seperti mimpi yang boleh dicapai.”

Berbanding gol lewat perlawanan dan dua kemenangan menerusi penentuan penalti yang menjurus kepada kejayaan dalam Liga Europa musim lalu, anak buah Emery bertindak cemerlang pada kempen kali ini dengan kalah hanya sekali dalam 14 perlawanan serta menjaringkan 26 gol.

Laluan Dnipro ke Warsaw lebih berliku apabila kelab Ukraine itu hanya menang tujuh daripada 16 perlawanan sebelum layak ke final.

ARTIKEL YANG SAMA